Isnin, 14 Mei 2018 | 3:38pm
ISTANA Abu Bakar, Pekan

Angkat sumpah MB Pahang petang esok

KUANTAN: Istiadat pengurniaan surat pelantikan dan angkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang dijadualkan berlangsung di Bilik Menghadap Utama, Istana Abu Bakar, Pekan, esok.

Media yang menerima jemputan daripada wakil Istana Pahang menerusi aplikasi WhatsApp, dimaklumkan istiadat itu akan bermula jam 3 petang.

Bagaimanapun, jemputan itu tidak menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal dilantik memegang jawatan berkenaan.

Difahamkan, pada majlis itu turut diadakan angkat sumpah jawatan EXCO Kerajaan Negeri.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang yang sepatutnya diadakan di Istana Abu Bakar Sabtu lalu, ditangguhkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang memerlukan masa untuk membuat keputusan dan mengenal pasti semua anggota kerajaan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN menang 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membolehkan kerajaan negeri dibentuk, manakala Pakatan Harapan (PH) pula memenangi sembilan kerusi dan lapan kerusi dimenangi PAS.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dilihat calon paling sesuai untuk terus memegang jawatan Menteri Besar berdasarkan perkembangan politik semasa negara yang menyaksikan tampuk pemerintahan Kerajaan Pusat bertukar kepada PH.

Ini kerana Adnan, 68, bukan saja membuktikan kemampuannya mengekalkan kemenangan BN pada PRU-14 ketika negeri ditadbir BN lain ditawan PH, tetapi juga mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jika Adnan dilantik semula, beliau akan menjadi Menteri Besar Pahang paling lama berkhidmat setakat ini. Beliau sudah berkhidmat selama 19 tahun.

Sementara itu, Pengerusi PH Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman ketika dihubungi menafikan khabar angin bahawa ada ADUN daripada BN menyertai PH dalam jumlah ramai, sekali gus membolehkan gabungan berkenaan membentuk kerajaan.

"Jika ada perbincangan tentunya harus membabitkan saya sebagai Pengerusi PH Pahang, namun saya sendiri tidak ada berbincang dengan mana-mana pihak bagi tujuan itu.

"Tiada kemasukan ADUN daripada BN menyertai PH. Pada pendapat saya adalah lebih baik BN membentuk kerajaan kerana mereka mendapat mandat daripada rakyat," katanya.

7201 dibaca
Berita Harian X