Rabu, 25 April 2018 | 5:53pm
ANTARA kemudahan yang terdapat di kediaman Rumawip Residensi Pandanmas 2 di Kampung Pandan. - Foto Mohd Zaaba Zakaria
DATUK Seri Adnan Tengku Mansor bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir beramah mesra bersama penerima pada majlis Penyerahan Kunci Rumawip Residensi Pandanmas 2 di Kampung Pandan. Turut sama, Pengerusi Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong. - Foto Mohd Zaaba Zakaria

300 setinggan India miliki rumah

KUALA LUMPUR: Impian kira-kira 300 setinggan India memiliki kediaman sendiri menjadi kenyataan, apabila mereka menerima kunci rumah masing-masing menerusi program penempatan semula di Pangsapuri Pandanmas 2, dekat sini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata kemudahan pangsapuri terbabit disediakan khusus untuk masyarakat India yang juga penduduk asal kawasan yang dibangunkan semula itu.

Katanya, kediaman berkeluasan 800 kaki persegi itu ditawarkan pada harga RM42,000, sekali gus memberikan kehidupan lebih sempurna kepada mereka.

"Kementerian berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu setinggan ini ditempatkan semula di projek perumahan yang diambil alih, kerana ini tempat tinggal asal mereka.

"Ini membuktikan kerajaan tidak mengetepikan masyarakat India terutama yang mendiami kawasan setinggan dengan menawarkan rumah berharga hanya RM42,000, malah usaha membela nasib rakyat akan diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kunci Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) Residensi Pandanmas 2 dan Pangsapuri Pandanmas 2 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II dan calon Barisan Nasional, (BN) Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pengerusi Aset Kayamas Sdn Bhd (Aset Kayamas), Tan Sri Chai Kin Kong dan Pengarah Eksekutifnya, Michael Chai.

Menerusi program itu, penduduk yang mendiami perumahan daif dan sempit seluas antara 500 kaki persegi dengan persekitaran kurang selesa, bakal berpindah ke kediaman selesa dengan kemudahan kondusif dan lokasi strategik terletak kira-kira dua kilometer dari pusat bandar.

Selain penyerahan kunci kepada 300 penghuni pangsapuri berkenaan, seramai 1,920 orang lagi turut menerima kunci rumah mampu milik bagi unit resedensi berkeluasan 900 kaki persegi berharga RM300,000 yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

Sementara itu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang memberi kemudahan kepada pembeli rumah memohon pinjaman sebanyak 90 peratus untuk membiayai kediaman terbabit.

Tengku Adnan berkata, kediaman itu mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu tempat letak kereta bertingkat dilengkapi kemudahan bertaraf kondominium.

"Kementerian Wilayah Persekutuan mencapai sasaran keseluruhan RUMAWIP iaitu sebanyak 88,917 unit berbanding sasaran awal 80,000 unit.

"Usaha sama antara pihak kerajaan dan swasta yang sentiasa berganding bahu dalam memastikan warga Wilayah Persekutuan memiliki rumah, berhasil menerusi RUMAWIP ini," katanya.

1017 dibaca
Berita Harian X