Selasa, 24 April 2018 | 12:56pm
DATUK Seri Idris Haron (tengah) menyerahkan watikah perlantikan kepada calon BN, Datuk Koh Nai Kwong (kiri) dan Lee Chong Leng (kanan) bagi mengisi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 6 kerusi Parlimen yang dipertandingkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Seri Bendahara, Ayer Keroh.- Foto Rasul Azli Samad

Dakwaan calon BN tolak watikah, hanya khabar angin

AYER KEROH: Dakwaan dua calon daripada MCA menolak watikah pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dan Bandar Hilir pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semalam, hanyalah khabar angin.

Mengesahkan perkara itu, calon DUN Machap Jaya, Datuk Wira Koh Nai Kwong, berkata laporan portal pro pembangkang berhubung perkara itu, termasuk dakwaan dia bersama calon DUN Bandar Hilir, Lee Chong Leng melarikan diri selepas pengumuman calon Barisan Nasional (BN) Melaka dibuat semalam adalah tidak benar.

Katanya, beliau hanya meminta tempoh 24 jam daripada Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Haron, bagi membincangkan pertukaran kerusi Parlimen Alor Gajah yang disandangnya ke DUN Machap Jaya dengan ahli di peringkat akar umbi.

"Selepas pengumuman (calon) itu, saya terus bertemu dengan mereka (ahli). Mereka meminta saya supaya menerima sebagai calon di kerusi berkenaan (Machap Jaya).

"Tumpuan kita sekarang adalah untuk menarik sokongan pengundi di sana, sekali gus memastikan BN memperoleh kemenangan pada PRU-14 kali," katanya ketika ditemui di Seri Bendahara, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Nai Kwong dan Chong Leng yang hadir bersama penyokong masing-masing, menerima watikah pencalonan bagi kerusi DUN Machap Jaya dan Bandar Hilir daripada Idris.

Nai Kwong adalah penyandang kerusi Parlimen Alor Gajah, tetapi dipindahkan ke kerusi DUN Machap Jaya bagi memberi laluan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Melaka, Datuk Wong Nai Chee.

Pada PRU-13, MCA memenangi kerusi DUN Machap yang kini dikenali Machap Jaya dengan majoriti 152 undi, sebaliknya parti itu menang besar di Parlimen Alor Gajah dengan majoriti 12,884 undi.

Sementara itu, Chong Leng yang juga calon muka baharu ketika ditemui enggan mengulas mengenai perkara itu, sebaliknya berkata akan bekerja keras memastikan BN menang di Bandar Hilir.

1291 dibaca
Berita Harian X