Selasa, 24 April 2018 | 12:52pm
PENGARANG Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman menerima tajaan daripada Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat di Jabatan Strategi Forest City, Aeron Munajat di Balai Berita NSTP. - Foto Sairien Nafis

NSTP terima dua lagi tajaan Forest City

KUALA LUMPUR: The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) hari ini, menerima tambahan penajaan daripada Forest City bagi memperkasakan program pendidikan terhadap dua sekolah angkatnya dalam kawasan Gelang Patah di Johor.

Penajaan itu merangkumi pembinaan dua buah gazebo Wakaf BH di SK Ladang Pendas dan SMK Tanjong Adang, satu-satunya sekolah menengah yang menerima penajaan daripada Forest City menerusi syarikat Country Garden Pacific View Sdn Bhd.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat di Jabatan Strategi Forest City, Aeron Munajat, berkata usaha itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya terutama dalam mementingkan pendidikan untuk masa hadapan.

Katanya, Forest City memperuntukkan RM152,000 bagi program penajaan gazebo Wakaf BH dan langganan sisipan NST dan BH serta penganjuran bengkel.

"Ini adalah tahun kedua pihak kami bekerjasama dengan NSTP dan melalui pemantauan bersama guru besar dan sekolah yang terbabit, ia terbukti membantu menambah baik dan meningkatkan lagi pencapaian akademik pelajar.

"Kita berharap dengan penajaan ini juga ia membantu pelajar memperoleh keputusan lebih baik dalam peperiksaan yang bakal dihadapi," katanya ketika penyerahan penajaan itu.

Yang turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan adalah Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan dan Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar.

Sementara itu, Forest City turut menaja langganan BH Didik, Minda dan Skor selama setahun dan 1,600 buah buku pendidikan bagi siri peperiksaan.

Turut ditaja dua bengkel BH Didik UPSR bagi 120 murid membabitkan enam sekolah, serta seminar BH Minda PT3 dan Bengkel BH Skor SPM.

Syarikat itu juga memberikan langganan selama setahun untuk NST School Time dan mengadakan bengkel NST-NIE UPSR yang akan bermula pada 28 April ini, selain langganan selama tiga bulan untuk kad FullAMark untuk mengakses online portalnya.

224 dibaca
Berita Harian X