Selasa, 24 April 2018 | 11:34am

Khidmat kesihatan Malaysia diiktiraf dunia - PM

PUTRAJAYA: Komitmen kerajaan dalam memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat bukan omong kosong sebaliknya diterjemahkan dalam bentuk tindakan sehingga membawa kepada pengiktirafan dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata ia terbukti apabila Malaysia diiktiraf sebagai destinasi pelancongan kesihatan dan perubatan selama tiga tahun berturut-turut oleh Laporan Journal Antarabangsa Pelancongan Kesihatan sejak 2015 hingga 2017.

Beliau berkata, Majalah International Living turut mengiktiraf Malaysia sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam bidang penjagaan kesihatan.

"Ia (pengiktirafan) dicapai kerana aku janji dibuat kerajaan selama ini berjaya dilaksanakan.

"Dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita tetapkan penjagaan kesihatan dan gaya hidup antara satu daripada 14 teras keutamaan yang diperjuangkan kerajaan lima tahun akan datang," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Institut Kanser Negara (IKN) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Katanya, menerusi aku janji itu, rakyat boleh mengharapkan bidang kesihatan akan terus diberi penambahbaikan ketara oleh kerajaan.

Najib berkata, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM27 bilion dan RM26 bilion kepada Kementerian Kesihatan masing -masing pada Bajet 2018 dan 2017.

Beliau berkata peruntukan besar itu penting bagi mencapai sasaran nisbah seorang doktor bagi 400 penduduk menjelang 2030.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau turut menggalakkan rakyat supaya menjalani saringan awal kanser kerana dianggarkan 65 peratus kes kanser yang dirujuk sudah mencapai tahap kronik.

"Pada 2015, kanser adalah penyebab kematian keempat tertinggi di Malaysia," katanya.

Najib berkata kerajaan memberi jaminan akan meneruskan usaha untuk memajukan lagi bidang penjagaan kesihatan negara termasuk memberi tumpuan kepada kesedaran gaya hidup sihat, pencegahan awal dan amalan pemakanan yang baik dalam kalangan rakyat.

Penubuhan IKN adalah cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007 membabitkan kos RM700 juta.

Setakat ini, IKN mengendalikan 37,452 pesakit berbanding 505 pesakit ketika mula beroperasi pada 2013.

999 dibaca
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Sains Fizik Jabatan Radioterapi dan Onkologi, Mahzom Pawanchek (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan di Bilik Rawatan Novalis Tx sempena majlis perasmian Institut Kanser Negara, hari ini. Turut sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam (tiga dari kanan). - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X