Isnin, 23 April 2018 | 7:57pm
KETUA Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. - Foto Saddam Yusoff

'Ratu Hati Negaraku' martabat golongan wanita

KUALA LUMPUR: Program 'Ratu Hati Negaraku' yang dizahirkan menerusi manifesto utama Barisan Nasional (BN) bakal menjadi platform dalam memartabatkan golongan wanita di negara ini.

Pengerusi Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata golongan wanita diberikan tempat yang istimewa sebagai ratu hati Malaysia kerana berjuang bukan saja sebagai isteri, ibu, anak malah berperanan sebagai wanita bekerjaya dan suri rumah.

"Justeru, program yang akan berlangsung esok akan dijalankan secara santai dan saya akan berkongsi dengan hadirin berhubung isi kandungan aku janji kerajaan BN sekiranya kami dipilih untuk memerintah dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Inisiatif ini berbeza daripada tugasan kerajaan dan aku janji ini lebih spesifik yang dikhususkan untuk membahagiakan serta menjayakan kehidupan wanita ke arah yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Program terbabit bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) jam 8.15 malam esok.

Shahrizat berkata, program berkenaan dijangka mendapat sambutan golongan wanita merangkumi pelbagai lapisan generasi bagi mendengar 25 inisiatif dalam menentukan hala tuju dan pembangunan agenda ekonomi wanita.

"Program ini terbuka kepada umum dan sesiapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai transformasi bakal dilaksanakan BN dijemput datang.

"Manifesto yang dirangka membuktikan kesungguhan BN mengarusperdanakan isu wanita dan keluarga dalam agenda pembangunan yang direncanakan demi kesejahteraan seluruh rakyat," katanya.

578 dibaca
Berita Harian X