Isnin, 16 April 2018 | 11:14pm
Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Abdul Rahman Hashim (kanan) memberikan tanda penghargaan kepada Ketua Hakim Negara Malaysia dan Penaung LIC Asean, Tun Raus Sharif selepas Memorandum Persefahaman Portal Penghakiman Malaysia di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya. - Foto Salhani Ibrahim

Portal penghakiman bukti ketulusan

KUALA LUMPUR: Dalam usaha memastikan ketelusan sistem kehakiman negara, Portal Penghakiman Malaysia diwujudkan bagi membolehkan orang ramai mendapat akses kepada keputusan dan penghakiman Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif, berkata melalui portal www.judgements.my, keputusan dan penghakiman Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan akan dimuat naik dalam tempoh 48 jam sebaik selesai prosiding.

Raus berkata, portal itu akan menjadi arkib rasmi kepada penghakiman mahkamah di negara ini dan boleh diakses oleh orang ramai tanpa sebarang bayaran.

"Dengan wujudnya portal penghakiman ini, Malaysia meletakkan tanda aras baharu kepada ASEAN dalam pengumpulan dan penyebaran bahan perundangan.

"Akses kepada maklumat perundangan adalah tanda kematangan sebuah masyarakat demokratik terutama dalam bidang hak asasi manusia, yang menyatakan bahawa keputusan dan prosiding mahkamah perlu diakses oleh masyarakat umum," katanya ketika melancarkan portal itu di Fakulti Undang-undang UM, di sini, hari ini.

Semua penghakiman Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan bermula dari 1 Januari 2017 akan dimuat naik ke dalam portal itu.

"Dengan wujudnya portal ini, diharap kritikan tidak berasas terhadap keputusan mahkamah akan berkurangan.

"Orang ramai juga boleh meningkatkan pengetahuan serta pemahaman undang-undang dan menghargai alasan dalam penghakiman yang dilaporkan sebelum membuat kesimpulan sendiri," katanya,

Pada majlis itu, memorandum persefahaman (MoU) portal berkenaan turut ditandatangani oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar dan Naib Canselor UM, Datuk Ir Abdul Rahim Hashim.

Yang turut hadir, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Seri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Malaya, Tan Seri Ahmad Maarop; Pengerusi Alumni Rumpun Fakulti Undang-undang UM (PARFUM), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin.

277 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »