Isnin, 16 April 2018 | 8:03pm
Twitter rasmi Datuk Seri Najib Razak.

PM ucap takziah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Tan Sri Napsiah Omar sebagai pejuang UMNO dan Tokoh Melayu Terbilang.

Dalam entri terbaharu twitter rasminya, Perdana Menteri menzahirkan rasa sedih ke atas pemergian bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu dan turut menyertakan gambar hitam putih kenangannya bersama Allahyarham.

"Innalillahiwainnailaihirajiun. Perginya pejuang UMNO dan Tokoh Melayu Terbilang, Tan Sri Napsiah Omar hari ini.

"Saya masih ingat kata-kata Allahyarhamah, bahawa yang menjadikan UMNO hidup dan kuat adalah ahli-ahlinya. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat. Al-Fatihah," katanya.

Napsiah, 74, yang juga bekas Anggota Parlimen Kuala Pilah untuk lima penggal (1986-2004) meninggal dunia akibat barah hati pada 6.10 petang tadi di rumah anak lelakinya di Ampang Jaya dekat sini.

Napsiah pernah dinobat sebagai Tokoh Melayu Terbilang sempena Sambutan Hari UMNO ke-71 pada Mei tahun lalu.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, menyifatkan pemergian Napsiah, yang juga Pengerusi Tetap Wanita UMNO, sebagai satu kehilangan besar buat pergerakan itu.

"Allahyarham adalah seorang srikandi tulen yang tiada tolok bandingnya, perjuangan beliau yang berdekad lamanya dirasai oleh semua wanita dan negara manakala legasi perpaduan yang beliau wariskan menjadi ikatan kekuatan kepada 1.4 juta ahli Wanita UMNO.

"Sebagai seorang ikon Wanita UMNO yang amat berpengalaman, pemergian beliau meninggalkan satu ruang yang sukar diisi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrizat turut menyifatkan pemergian Napsiah memberi kesan kepada dirinya secara peribadi kerana Allahyarham menjadi tempat baginya merujuk dan mencari nasihat untuk meneruskan langkah perjuangan politik.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, turut melahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada anggota keluarga allahyarhamah di atas pemergian beliau.

"Pemergian beliau menjadi kehilangan besar kepada negara. Beliau adalah tokoh wanita UMNO yang tegas memperjuangkan usaha memartabatkan golongan wanita di Malaysia pada era 90-an," katanya dalam kenyataan hari ini.

1261 dibaca
Berita Harian X