Isnin, 16 April 2018 | 6:30pm

Tembakan artileri bersejarah oleh PM

KUALA LUMPUR: Kali pertama dalam sejarah Malaysia, Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2018 menyaksikan Datuk Seri Najib Razak memanggil tembakan artileri secara langsung terus ke tapak latihan menembak sejauh 190 kilometer.

Arahan tembakan meriam yang dipancar menggunakan sistem teknologi maklumat termaju itu dibuat ketika kunjungan Perdana Menteri ke bilik operasi pusat kawalan dan perintah 3 Divisyen di pavilion Tentera Darat Malaysia (TDM).

Komander Divisyen Artileri Malaysia, Infanteri 3 Divisyen, Brigadier-Jeneral Ahmad Abu Bakar, berkata Perdana Menteri meluangkan masa sekitar 10 minit untuk melihat sendiri kekuatan dan kemampuan bilik operasi terbabit.

Katanya, bilik operasi pusat kawalan dan perintah untuk komander 3 Divisyen itu adalah satu daripada kekuatan yang dilengkapi di lima divisyen seluruh negara bagi siaran digital secara langsung kegiatan di lapangan.

"Terdapat tiga kegiatan dinamik 3 Divisyen sedang dipancarkan terus ke bilik ini termasuk dua daripadanya adalah latihan menembak di Asahan, Melaka dan operasi sebenar Ops Wawasan Rantau Panjang.

"Untuk kali pertama dalam sejarah, Perdana Menteri berhubung terus pegawai pemerintah di tapak meriam yang berada sejauh 190 kilometer dari sini untuk memanggil tembakan meriam aritileri.

"Dalam operasi sebentar tadi pegawai pemerintah di tapak meriam menerima maklum balas dengan melancarkan tembakan tepat ke sasaran yang ditentukan dengan serta merta," katanya kepada media di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, Najib meluangkan masa lebih sejam mengunjungi tapak pameran di Persidangan dan Pameran DSA Ke-16 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018.

Persidangan dan pameran selama empat hari bermula hari ini diadakan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC)

Sebanyak 1,500 pempamer dari 60 negara berhimpun di bawah satu bumbung bagi mempamerkan kekuatan dan teknologi ketenteraan terkini dunia.

1613 dibaca
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika lawatan pada Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2018 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC). - Foto Sairien Nafis
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »