Isnin, 16 April 2018 | 5:54pm
PRESIDEN Persatuan Veteran ATM (PVATM), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor (tiga dari kiri) beramah mesra dengan veteran tentera selepas merasmikan Majlis Jejak Veteran dan Penyampaian Sumbangan Kebajikan daripada Tabung Pahlawan untuk Veteran Orang Kurang Upaya (OKU), Balu Veteran OKU dan anak-anak Veteran OKU di Dewan Produktiviti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Bandar Baru Uda, Johor Bahru. - FOto Zain Ahmed

Kebajikan 4,000 veteran tentera OKU tidak diabai

JOHOR BAHRU: Kira-kira 4,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara yang bergelar orang kurang upaya (OKU) tersenarai sebagai golongan layak menerima sumbangan menerusi Tabung Pahlawan.

Presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, berkata ia termasuk 400 veteran yang pernah berkhidmat ketika darurat, selain 3,000 lagi terbabit dalam kemalangan ketika dalam perkhidmatan, manakala bakinya hilang upaya selepas tamat perkhidmatan.

Beliau berkata, beberapa syarat ditetapkan bagi mendapatkan sumbangan berkenaan termasuk veteran berkenaan seharusnya memiliki kad OKU yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, sekiranya gagal memiliki kad OKU atas faktor tertentu, pihaknya sedia turun padang mengunjungi veteran berkenaan bagi mengenal pasti keadaan mereka.

"Seramai 246 cawangan persatuan berkenaan di seluruh negara berfungsi sebagai mata dan telinga PVATM termasuk dalam menjejaki veteran ATM OKU.

"Selepas saringan, mereka yang layak akan menerima wang tunai RM500 setiap seorang dan bagi tahun ini proses penyerahan sumbangan yang dimulakan sejak awal tahun dijangka selesai sebelum Ramadan.

"Manakala bagi balu veteran ATM OKU atau anak mereka akan menerima sumbangan wang tunai RM300," katanya di sidang media sempena Majlis Jejak Veteran dan Penyampaian Sumbangan Kebajikan daripada Tabung Pahlawan untuk Veteran Orang Kurang Upaya (OKU), Balu Veteran OKU dan anak-anak Veteran OKU di MPC di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 500 penerima menerima sumbangan termasuk veteran OKU, balu atau anak veteran OKU di seluruh Johor.

Sementara itu, veteran OKU, Jaafar Abdul Samad, 74, berkata beliau dan keluarga bersyukur apabila terpilih sebagai penerima sumbangan berkenaan.

"Saya bergelar OKU iaitu kehilangan kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan pada enam tahun lalu iaitu selepas tempoh perkhidmatan. Saya bersyukur kerana tetap diberi perhatian dan sumbangan ini amat bermakna bagi veteran OKU seperti saya," katanya.

Bagi Abu Bakar Samsudin, 70, beliau berharap sumbangan berkenaan diteruskan pada masa depan bagi meringankan beban veteran ATM.

"Biarpun sudah bergelar warga emas, saya bersyukur kerana jasa veteran seumpama saya tetap dihargai," katanya.

219 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »