Isnin, 16 April 2018 | 5:32pm
ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) yang juga Yang Dipertua Badan Amal (BAKTI) beramah-mesra dengan anak-anak yatim semasa mengadakan lawatan ke Yayasan Gurpuri sempena sambutan Hari Vaisakhi. - Foto Hafiz Sohaimi

BAKTI sumbangkan RM20,000 kepada Yayasan Gurpuri

KUALA LUMPUR : Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI), menyerahkan sumbangan RM20,000 kepada Rumah Perlindungan Kanak-kanak Yayasan Gurpuri di Hulu Kelang dekat sini, hari ini.

Sumbangan disampaikan Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor, ketika mengadakan lawatan tahunan ke yayasan itu sempena perayaan Hari Vasakhi yang diraikan kaum Sikh pada setiap 14 April.

Beliau yang tiba kira-kira jam 11.30 pagi disambut Pengasas yang juga Pemegang Amanah Rumah Perlindungan Kanak-kanak Yayasan Gurpuri, Giani Sukhdaiv Singh serta penghuni rumah kebajikan itu.

Dalam kunjungan itu, Rosmah menyampaikan hamper kepada 80 penghuni berusia antara lima hingga 22 tahun yang mendiami rumah yayasan berkenaan.

Isteri Perdana Menteri itu meluangkan masa kira-kira sejam untuk beramah mesra dengan penghuni serta menyaksikan tarian tradisional kaum Punjabi.

Sementara itu, dalam ucapannya, Sukhdaiv Singh berkata, sebagai satu-satunya rumah perlindungan kanak-kanak Sikh di negara ini, Yayasan Gurpuri berjaya melahirkan 110 graduan dalam pelbagai bidang sejak penubuhannya tahun 2000.

"Sumbangan yang diterima hari ini akan dimanfaatkan sebagai menampung perbelanjaan penghuni yang dianggarkan RM60,000 sebulan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan BAKTI di sini, hari ini.

Beliau berkata, Yayasan Gurpuri kini dalam fasa kedua membangunkan sebuah lagi rumah perlindungan di Bentong, Pahang membabitkan keluasan 6.7 hektar yang bakal memuatkan 450 penghuni dalam satu masa.

"Fasa pertama projek menelan belanja RM11 juta merangkumi sebuah bangunan tiga tingkat, pusat perniagaan untuk ibu tunggal dan pusat vokasional dengan nilai keseluruhan RM65 juta," katanya.

147 dibaca
Berita Harian X