Isnin, 16 April 2018 | 5:13pm

Semakan pengundi mudah

PUTRAJAYA: "Ini adalah kali pertama saya membuat semakan pusat mengundi menerusi dalam talian (online) dan ternyata ia lebih mudah dan cepat," kata Nur Fazreena Razali, 28.

Nur Fazreeena mengakui, hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan dan tidak sampai beberapa saat, semua maklumat mengenai lokasi mengundi dipaparkan.

"Semua maklumat terperinci tersedia dalam sistem berkenaan termasuk lokasi, saluran serta masa mengundi dan saya hanya perlu mengambil gambar salinan skrin (screenshot) sebagai rujukan pada hari mengundi kelak.

"Tidak perlu lagi hadir ke mana-mana pejabat atau menunggu surat yang dihantar ke rumah bagi mendapatkan maklumat mengenai pusat mengundi masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Nur Atikha Shobri, 26, berkata, semakan secara dalam talian juga memudahkannya untuk melihat semula lokasi mengundi terutama selepas persempadanan semula yang ada perubahan nama kawasan Parlimen dan DUN.

"Semakan dalam talian juga membantu saya untuk tidak tercari-cari di mana hendak membuang undi pada 9 Mei depan dan kita boleh merancang perjalanan untuk ke tempat mengundi," katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memaklumkan semua pemilih berdaftar boleh membuat semakan mengenai maklumat lengkap termasuk tempat mengundi terkini bermula hari ini.

Semakan itu boleh dibuat menerusi pelbagai saluran antaranya aplikasi mudah alih MySPR Semak yang boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store secara percuma.

Malah, pemilih berdaftar juga boleh membuat semakan bermula hari ini (April 16) melalui pautan pengundi.spr.gov.my atau menyemak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu menghantar mesej ke talian 15888 dengan menaip SPR nombor kad pengenalan.

Selain itu, pemilih berdaftar juga boleh melakukan semakan dengan menghubungi talian 0388927018 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri.

Tarikh pengundian PRU-14 sudah ditetapkan pada 9 Mei depan manakala penamaan calon pada 28 April ini dan pengundian awal adalah pada 5 Mei ini.

Kerajaan juga mengisytiharkan 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara sempena PRU-14 bagi membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

4145 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »