Isnin, 16 April 2018 | 5:09pm
AHMAD Zahid ketika hadir merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Bera hari ini. - Foto BERNAMA

Calon BN PRU-14 perlu lipat ganda usaha - TPM

BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpesan kepada calon Barisan Nasional (BN) yang akan dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menggandakan usaha dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan parti keramat itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, berkata bagi mereka yang tidak dipilih pula diminta ikhlas membantu gerak kerja calon yang bertanding bagi memastikan kemenangan mutlak kepada BN terus kekal menerajui negara.

"Pagi tadi, Perdana Menteri berpesan Ahli Parlimen yang terpilih sebagai calon perlu kerja keras dan melipatgandakan usaha terutama ketika turun berkempen... terus menambah daya usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Bagi yang tidak terpilih pula, Perdana Menteri mengucapkan terima kasih dan mahu mereka memberi sokongan serta bantuan kepada calon baharu yang bertanding di kawasan pernah diwakili," katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Abdul Rahman.

Ahmad Zahid mengulas mengenai pertemuan khas Perdana Menteri dengan Ahli Parlimen BN di Seri Perdana, Putrajaya, di sini, pagi tadi.

Mengulas mengenai pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon pembangkang di kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya kali ini, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, jasa Dr Mahathir hanya tinggal sejarah kepada penduduk di pulau lagenda itu.

"Segala kebaikan dilakukannya (kepada penduduk Langkawi) sudah dirosakkan oleh beliau sendiri. Saya harap orang Langkawi terus memberikan sokongan kepada calon BN untuk terus memajukan kawasan itu pada masa akan datang," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN turut berkata, banyak bantuan dan kemudahan diberikan kerajaan kepada penduduk Langkawi seperti mewujudkan kemudahan bekalan elektrik secara terus dari tanah besar kepada penduduk di Pulau Tuba, bersebelahan Pulau Langkawi yang sebelum ini tidak menikmati kemudahan itu.

Katanya, kemudahan jeti dan infrastruktur pelancongan lain turut dibangunkan kerajaan BN di bawah kepemimpinan Najib yang berterusan memajukan pulau pelancongan itu.

"Jika BN diberikan mandat semula, Langkawi akan terus dibangunkan, tetapi jika Langkawi memilih orang lain (selain BN) dibimbangi ia (pembangunan) sukar dilaksanakan," katanya.

Ahmad Zahid juga meminta penduduk Langkawi berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menerima siapa saja calon BN yang akan bertanding di situ.

Pada PRU-13, calon BN, Datuk Ir Nawawi Ahmad menang kerusi Parlimen Langkawi dengan majoriti 11,861 undi menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, rakyat di bandar dan luar bandar perlu sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada pembangunan dirancang kerajaan di kawasan masing-masing.

"Ini kerana, semua agama di dunia mengajar pengikutnya bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang memberi pelbagai bantuan.

"Mereka jangan terpengaruh dengan budaya kebencian dan sikap antipemerintah yang dibawa generasi muda termasuk anak mereka yang bekerja di bandar setiap kali tiba pilihan raya.

"Mereka juga perlu sedar kerajaan BN dan polis mempunyai persamaan yang jelas iaitu sentiasa berkhidmat kepada rakyat sepanjang waktu, bukan bermusim seperti pembangkang," katanya.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

INFO

#Ibu Pejabat Polis Daerah Bera diwujudkan pada tahun 2002.

# Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Bera yang baharu siap tahun 2012

# Kekuatan IPD Bera seramai 300 pegawai dan anggota

816 dibaca
Berita Harian X