Isnin, 16 April 2018 | 4:30pm
RIZALMAN Mokhtar. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Calon UMNO lebih layak di Bandar Tun Razak - Rizalman

KUALA LUMPUR: Peluang MCA terus bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dianggap sebagai kawasan tradisinya sejak lima penggal lalu, dilihat masih samar.

Ini kerana, kekalahan MCA kepada PKR pada PRU lalu, membuatkan UMNO Bahagian Bandar Tun Razak merasakan sepatutnya diberi peluang parti yang lebih dominan untuk 'menggantikan' tempat MCA dalam usaha memenangi semula kerusi itu.

Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar, berkata UMNO lebih layak meletakkan calonnya mengambil kira demografik penduduk yang majoritinya adalah Melayu.

Beliau berkata, di Bandar Tun Razak, populasi pengundi Melayu merangkumi 61 peratus, disusuli Cina (29 peratus), India (8 peratus) dan selebihnya kaum-kaum lain.

Mengambil kira faktor itu, katanya, MCA perlu berpijak di bumi yang nyata dengan memberi peluang kepada UMNO untuk menonjolkan calon yang boleh diterima masyarakat, bukannya mengambil kira rekod atas kertas yang tidak menggambarkan keputusan boleh menang.

"Saya konsisten berjuang untuk UMNO bertanding di kawasan Bandar Tun Razak. Saya tidak berhasrat menarik balik kenyataan itu. Saya konsisten dan positif, merayu pucuk pimpinan memberi peluang kepada UMNO supaya bertanding di kawasan itu.

"Sudah semestinya (UMNO layak), tak ada sebab kita letak calon selain orang Melayu. Itu puncanya kenapa parti pembangkang, mereka cekap dan faham demografik dengan letak calon Melayu. PKR letak calon Melayu, PAS letak calon Melayu. Mereka faham demografik.

"Kita kena berpijak di bumi yang nyata. Maksudnya, kita kena tonjolkan calon atau parti yang boleh diterima dan juga boleh menang pada pilihan raya nanti. Ingat, kita kena realistik bukan nak bertanding bukan sebab emosi," katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Mengulas lanjut, Rizalman berkata, peluang UMNO masih berada pada landasan tepat dan pihaknya akan terus mendesak kerana apa yang menjadi matlamat utama sekarang ini adalah untuk menyumbang satu kerusi kepada kemenangan BN pada PRU nanti.

Ditanya calon yang bakal bertanding di kawasan berkenaan, Rizalman tidak tahu siapa dan menyerahkan kepada pucuk kepemimpinan parti, namun berharap supaya mempertimbang calon tempatan terutama anak Bandar Tun Razak.

Pada PRU-13, BN yang diwakili wakil MCA, kalah kerusi Bandar Tun Razak kepada calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dengan majoriti 11,832 undi.

Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak ditandingi wakil MCA, dipercayai akan terbabit dalam pertukaran kerusi di antara MCA dan UMNO pada PRU-14, atas alasan mendapat sokongan baik masyarakat Melayu setempat.

4465 dibaca
Berita Harian X