Isnin, 16 April 2018 | 4:28pm
NAJIB (kanan) berbual bersama Hishammuddin pada Forum Putrajaya 2018 sempena pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2018 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). - Foto BERNAMA

Tentukan dengan fakta, bukan berita palsu - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak, berkata masa depan negara perlu ditentukan oleh rakyat berdasarkan kepada fakta dan bukannya berita palsu, penipuan, propaganda, janji palsu dan ilusi.

Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah kerajaan yang melindungi rakyatnya daripada bencana penyebaran berita palsu, pihaknya meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 bagi menangani masalah berkenaan.

"Ia (berita palsu) boleh menggugat keselamatan negara dan kita sudah melihat banyak contoh di seluruh dunia di mana, (tindakan) yang bertentangan dengan dasar Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), berita palsu digunakan oleh kuasa luar sebagai alat campur tangan.

"Peliknya, terdapat sesetengah pemimpin pembangkang yang kini mengalu-alukan (campur tangan ini) tetapi sebagai rakyat Malaysia yang patriotik, saya boleh katakan kerajaan pimpinan saya tidak akan membenarkan campur tangan asing.

"Kami tidak akan berkompromi kedaulatan negara ini dengan membenarkan negara atau individu lain memberitahu kami apa yang perlu dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Forum Putrajaya 2018 bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2018 di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dalam pada itu, Najib berkata kesederhanaan atau wasatiyyah mengikut konsep al-Quran, adalah pertahanan penting bagi menentang ideologi ekstrem, radikalisasi dan keganasan.

Katanya, kerana itu beliau mencadangkan idea Gerakan Kesederhanaan Global sewaktu berucap pada sesi ke-65 Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada September 2010.

"Di Malaysia, ia berkembang menjadi Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), di mana ia menjadi pusat utama pengumpulan dan penyebaran maklumat bagi mempromosikan kesederhanaan serta melawan ekstremisme dan keganasan.

"Pujian harus diberikan kepada GMMF atas kerja yang dilakukan yang mana ia menyumbang kepada usaha Malaysia untuk memastikan gerakan kesederhanaan ini diiktiraf di seluruh dunia.

"Untuk pengiktirafan peringkat antarabangsa, saya dengan bangganya ingin berkata pada 9 Disember lalu, resolusi Malaysia berkenaan kesederhanaan diguna pakai dalam Perhimpunan Agung PBB sesi ke-72," katanya.

Menyentuh isu masyarakat Rohingya di Myanmar, Perdana Menteri berkata beliau bimbang jika keadaan membabitkan etnik minoriti itu tidak ditangani dengan betul, elemen militan mampu menyerap masuk ke dalam masyarakat yang tertekan itu.

"Kita mengakui yang Kerajaan Myanmar sudah mengambil langkah-langkah untuk menangani krisis ini, bagaimanapun lebih banyak usaha perlu dibuat.

"Punca asal isu ini mesti ditangani segera dan kami menyeru kerajaan Myanmar supaya membantu kepulangan pelarian ini ke rumah dan masyarakat mereka dengan selamat," katanya.

283 dibaca
Berita Harian X