Khamis, 12 April 2018 | 4:24pm

Tol motosikal mansuh jika BN rampas Pulau Pinang

BALIK PULAU: Tol bagi laluan motosikal Jambatan Pulau Pinang akan dihapuskan sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya merampas negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata, janji itu adalah tambahan kepada manifesto BN sebelum ini yang turut menjanjikan 65,000 rumah mampu milik kepada rakyat Pulau Pinang.

"Kita juga sedia menambah bilangan rumah mampu milik yang dijanjikan akan dibina sekiranya berjaya merampas negeri ini.

"BN mempunyai rekod dan kemampuan melaksanakan semua janji yang dibuat, bukannya seperti kerajaan negeri yang mempunyai 51 janji yang belum ditunaikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Balik Pulau Bersama Perdana Menteri yang dihadiri kira-kira 10,000 penduduk di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow dan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

2593 dibaca
DATUK Seri Najib Razak bersalaman dengan orang ramai semasa hadir pada Majlis Perhimpunan Bersama Rakyat di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Berita Harian X