Sabtu, 7 April 2018 | 10:43pm
NAIB Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran

Inisiatif pendidikan bersifat inklusif kepada semua

SHAH ALAM: Manifesto BN berkaitan inisiatif pendidikan disifatkan sebagai inklusif dan memberi manfaat kepada semua peringkat usia selain bertepatan dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.

Ia merangkumi pelbagai aspek antaranya transformasi kemudahan infrastruktur, insentif atau bantuan khas pendidikan dan latihan kemahiran bermula dari sekolah rendah hingga ke universiti.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata, insentif pemberian RM1,500 berupaya membantu mahasiswa yang tergolong daripada keluarga berpendapatan rendah, terutama ketika mereka mendaftar masuk ke universiti.

"Mereka antaranya perlu membeli peralatan di asrama, tugasan dan sebagainya. Kita kerap mendengar penuntut menolak mendaftar masuk di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) kerana masalah kewangan seumpamanya.

"Pemberian insentif itu sumbangan terbaik kepada mereka untuk tujuan pengajian berbanding menggunakan wang persendirian atau keluarga pada awalnya," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, malam tadi.

Beliau berkata, sama ada terima atau sebaliknya, Revolusi Industri 4.0 sememangnya tetap perlu ditempuh semua golongan masyarakat hari ini.

"Golongan muda dan belia khususnya kini perlu sentiasa bersedia dengan dilengkapi kemahiran dalam dunia digital menuju ke Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan ke arah negara berpendapatan tinggi.

"Bagi yang tercicir dalam kemahiran berteknologi, mereka semestinya tidak dapat bersaing dengan pekerja lain kelak. Justeru, langkah mewujudkan kemahiran digital kepada jutaan pelajar sekolah dilihat usaha terbaik ke arah itu," katanya.

Mohammad Shatar berkata, isu graduan sukar memperoleh pekerjaan sentiasa menjadi bahan perdebatan berikutan majikan kini amat memerlukan kemahiran yang dikehendaki mereka dalam pelbagai aspek.

"Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) 2.0 juga bakal melestarikan lagi SL1M terdahulu dalam mengukuhkan kemahiran pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

"Graduan mungkin tidak mengetahui keperluan majikan iaitu keseimbangan akademik dan kemahiran. Justeru, mereka perlu menggunakan peluang sedia ada itu," katanya yang turut menyokong pemberian kad diskaun khas pelajar bagi mengurangkan kos pengangkutan, perkhidmatan kerajaan dan pembelian barangan keperluan pendidikan.

Beliau berkata, kebergantungan warga kampus ketika ini sememangnya amat penting bagi memastikan proses pembelajaran mereka lebih berkesan.

"Kelajuan capaian itu amat dinantikan kerana kita mahu setiap bilik kuliah dilengkapi akses internet lebih mudah bagi membolehkan mereka memperoleh sumber ilmu atau rujukan mereka.

"Ia boleh mencapai standard lebih tinggi setaraf dengan universiti antarabangsa. Universiti juga mampu merancakkan lagi tranksaksi tanpa tunai di kampus seperti digunakan di kebanyakkan premis luar," katanya.

Manifesto BN diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkumi 26 inisiatif pendidikan itu memfokuskan tumpuan dalam aspek pemacuan modal insan dan kecemerlangan pendidikan.

275 dibaca
Berita Harian X