Rabu, 21 March 2018 | 6:39pm

Guna persempadanan baharu - SPR

ARAU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengguna pakai kawasan persempadanan baharu jika ia diwartakan sebelum Parlimen ke-13 dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata SPR akan membawa usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diluluskan Dewan Rakyat untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"SPR hanya perlu masa sehari untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Pertuan Agong dan selepas itu draf berkenaan menjadi rasmi dan boleh digunakan untuk PRU14," katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen #jomkitasemak dan #jomkitaundi SPR di Universiti Malaysia Perlis di sini hari ini.

Mohd Hashim berkata persempadanan semula bahagian pilihan raya dibuat berdasarkan kemajuan dan pembangunan demografi kawasan dan penduduk, sekali gus menyangkal dakwaan parti politik khususnya pembangkang bahawa proses itu dilakukan bertujuan memenangkan parti pemerintah.

Katanya, persempadanan semula itu sepatutnya telah diluluskan sejak dua tahun lalu namun tertangguh kerana ia dibawa ke mahkamah oleh pembangkang menyebabkan perkara itu tertangguh.

Pada 10 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usul persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentang untuk dibahas dan diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sehingga 5 April ini.

Menyentuh dakwaan pihak tertentu kononnya suruhanjaya itu menukar prosedur pengiraan undi dan penamaan ejen tanpa pemberitahuan awal, Mohd Hashim menegaskan bahawa sistem perjalanan pilihan raya itu tidak berubah.

Bagi memastikan proses pengundian dan pengiraan undi telus, Mohd Hashim meminta parti bertanding mengemukakan ejen yang mencukupi di 29,097 saluran mengundi di 8,971 pusat mengundi dan penjumlahan undi.

"SPR rayu, minta parti politik hantar ejen secukupnya di tiga tempat iaitu tempat mengundi, pengiraan undi dan barung semakan," katanya.

Mohd Hashim berkata buat pertama kali, SPR memberi peluang kepada mahasiswa untuk terbabit sebagai pemerhati proses perjalanan pilihan raya.

Mohd Hashim berkata SPR menjemput 12 negara sebagai pemerhati di samping badan bukan kerajaan (NGO) yang berkecuali sepanjang PRU-14 berlangsung berbanding hanya tiga negara pada PRU-13.

Beliau berharap PRU-14 menjadi pilihan raya yang terbersih dalam sejarah pilihan raya negara.

"Saya percaya kepada pihak keselamatan untuk menjaga keselamatan dan memastikan perjalanan PRU14 lancar, selamat dan harmoni," katanya.

Pada majlis itu, Mohd Hashim melancarkan kempen #jomkitasemak dan #jomkitaundi SPR bagi menggalakkan pemilih berdaftar keluar mengundi dengan sasaran peratusan keluar mengundi sebanyak 85 peratus.

SPR turut melancarkan media sosial suruhanjaya itu iaitu Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat berhubung PRU.

Pemilih berdaftar boleh menyemak tempat mengundi melalui aplikasi mudah alih My SPR Semak yang boleh dimuat turun dalam Google Play Apps atau Apple Apps. Mereka juga boleh menghubungi talian 03-8892 7018 atau mana-mana pejabat SPR negeri atau di portal rasmi SPR di www.spr.gov.my atau menghantar SMS ke talian 15888 dengan menaip SPR nombor kad pengenalan. - BERNAMA

1358 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »