Ahad, 18 March 2018 | 10:06pm
PRESIDEN Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaluddin (dua dari kiri) bergambar bersama Pengerusi Tetap MBM Pengerusi Tetap MBM, Mohd Syahbuddin Hashim (tengah) dan anggota Majlis Tertinggi MBM pada Mesyuarat Sidang Khas Dewan Tertinggi MBM. - Foto BERNAMA

MBM yakin manifesto BN realistik untuk belia

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

suhaila.shahrul@bh.com.my

PUTRAJAYA: Majlis Belia Malaysia (MBM) menaruh harapan dan kepercayaan tinggi kepada Barisan Nasional (BN) akan membentangkan manifesto yang realistik serta mempunyai kebolehcapaian yang tinggi terutama dalam isu berkaitan belia.

Presidennya, Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin, berkata pihaknya yakin BN tidak akan sekali-kali mengumumkan manifesto yang bersifat populis tanpa ada asas kebolehcapaian yang tinggi.

Katanya, sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan merangkap Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, ada mendapatkan maklum balas daripada MBM dalam membentuk manifesto kecil yang sedang disediakan Pemuda BN yang memberi penekanan kepada golongan muda.

"Sebelum ini, tidak ada parti yang pernah mendapatkan maklum balas daripada MBM dalam membentuk manifesto yang tidak lain tidak bukan bertujuan untuk memberi fokus kepada isu anak muda.

"Kita terharu apabila beliau (Khairy) mendekati MBM dalam usaha mengumpulkan idea daripada semua pihak bagi membentuk manifesto terbaik terutama dalam memberi penekanan kepada penyelesaian isu golongan muda.

"Justeru, kita amat teruja menantikan pengumuman itu nanti. Harapan kita agar isu berkaitan golongan muda seperti pekerjaan, pendidikan dan perumahan diberi perhatian dalam manifesto yang bakal diumumkan itu.

"Langkah yang logikal dan realistik perlu dalam menyelesaikan isu berkaitan golongan muda, bukan hanya menjanjikan penyelesaian yang tidak boleh dicapai seperti yang dibuat sesetengah pihak," katanya pada sidang media selepas Sidang Dewan Tertinggi MBM (Khas) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata manifesto kecil dinamakan 'Tawaran Baru Untuk Pengundi Muda' sedang disediakan Pemuda BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ia adalah akujanji yang akan menyediakan beberapa tawaran baharu kepada pengundi muda seperti berkaitan soal pekerjaan, latihan dan pendidikan, keusahawan, kemudahan untuk orang muda dan perumahan.

447 dibaca
Berita Harian X