Rabu, 14 March 2018 | 10:57pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasmikan Taman Rekreasi 99 Wonderland Park, Tasik Sri Murni, Selayang, Selangor. - Foto Asyraf Hamzah

PM rasmi Taman Rekreasi 99 Wonderland Park

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak malam ini merasmikan Taman Rekreasi 99 Wonderland Park di Tasik Sri Murni di Selayang, sebuah mercu tanda rekreasi yang unik dan baharu di ibu kota.

Pada majlis perasmian yang dihadiri lebih 10,000 orang itu, Perdana Menteri turut melawat taman rekreasi berkeluasan 9.2 hektar yang dinaik taraf dengan kos RM18 juta.

Taman rekreasi itu dibuka secara percuma kepada warga negara Malaysia selama sebulan bermula semalam sehingga 13 April ini.

Antara tarikan di taman rekreasi berkenaan adalah taman burung kasawari dan rusa, rumah arnab, Sky Fountain, Magical Bridge dan T-Rex Ring.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat sekitar Taman Rekreasi 99 Wonderland Park, Tasik Sri Murni,Selayang, Selangor selepas dirasmikan. - Foto Asyraf Hamzah

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan dan Pengerusi Kumpulan JL99, Datuk Seri BK Lee.

Taman Rekreasi 99 Wonderland Park dibuka bermula dari jam 6 petang hingga 9.30 malam pada Isnin hingga Khamis dan jam 6 petang hingga 10 malam (Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum).

Sementara itu, Lee dalam kenyataan berkata pelaksanaan projek seperti ini adalah salah satu contoh di mana kerajaan sentiasa prihatin terhadap rakyat Malaysia.

"Kumpulan JL99 akan terus memberi sokongan dan kerjasama kepada kerajaan untuk melaksanakan projek seperti ini untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di sekitar kawasan ini," katanya.

22596 dibaca
Berita Harian X