;
Rabu, 14 March 2018 | 6:02pm
DATUK Seri Mahdzir Khalid (dua kiri) merasmikan Penutup Konvensyen Guru Pembina Negara Bangsa Negeri Selangor 2018 di Intekma Resort & Convention Centre, Shah Alam. Turut bersama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (dua kanan), Yang Dipertua KASIH Selangor, Puan Sri Dr Aishah Salleh (kiri) dan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim (kanan). - Foto Faiz Anuar

Taktik tidak mahu bayar: Noh Omar

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor didakwa sengaja melengahkan isu penstrukturan semula industri air negeri ini kerana tidak mahu membuat sebarang pembayaran kepada Kerajaan Persekutuan atau Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata tindakan melengahkan pengambilalihan syarikat konsesi Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) itu memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk berterusan mengambil air tanpa perlu membuat bayaran.

Katanya, dengan tindakan itu, ia menunjukkan kerajaan negeri mahu mengambil kesempatan selagi perjanjian tidak ditandatangani.

"Selagi pengambilan SPLASH tidak selesai, maka kerajaan negeri berpeluang untuk tidak membayar segala pembayaran yang sepatutnya.

"Hari ini kita lihat kerajaan negeri kutip air, kutip bil. Sepatutnya bayaran investment (pelaburan) dibuat Kerajaan Persekutuan ini dibayar semula tetapi (kerajaan negeri) tidak membayarnya.

"Saya lihat perkara ini sengaja dilewatkan kerana tidak mahu bayar tetapi taktik ini akan merugikan rakyat dan Selangor sendiri," katanya ketika hadir ke Majlis Penutup Konvensyen Pendidikan KASIH Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya menyalahkan Kerajaan Persekutuan berhubung masalah air di negeri ini sedangkan ia berpunca daripada kelewatan memuktamadkan proses penstrukturan semula industri air itu.

Katanya, Mohamed Azmin juga dilihat cuba menggagalkan rancangan yang dibuat bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk memajukan negeri ini.

"Apa usaha Tan Sri Khalid, seolah-olah tidak diteruskan Mohamed Azmin. Bukan hanya isu air tetapi juga isu KIDEX (Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara).

Pada masa sama, Noh turut mencabar Mohamed Azmin untuk bertanyakan sebarang soalan mengenai isu air di Dewan Rakyat memandangkan persidangan sedang berlangsung.

"Apa sahaja yang tidak puas hati, tanya di Parlimen. Jangan cakap di luar, tanya Menteri sendiri," katanya.

Semalam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata kerajaan akan meneliti pilihan perundangan, termasuk menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2005 (Akta 655) bagi merungkai krisis bekalan air di Selangor.

1037 dibaca
Berita Harian X