Rabu, 14 March 2018 | 5:49pm
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalam bersama Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Abdulaziz Saud ketika menerima kunjungan hormat di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kerjasama dua hala Malaysia-Arab Saudi diperkukuh

PUTRAJAYA: Malaysia dan Arab Saudi bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara terutama dalam bidang antikeganasan dan jenayah rentas sempadan.

Persetujuan itu dicapai hasil perbincangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Abdulaziz Saud di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata mereka membincangkan beberapa topik mengenai keselamatan bersama dan bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala terutama dalam bidang antikeganasan dan jenayah rentas sempadan.

"Kedua-dua negara juga sudah menandatangani Perjanjian Bersama Keselamatan pada 18 April 2011," katanya dalam kenyataan selepas menerima kunjungan hormat Putera Abdulaziz Saud di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini.

Putera Abdulaziz dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Malaysia yang berakhir esok.

Ahmad Zahid berkata Malaysia amat menghargai hubungan kerjasama sedia ada dengan Arab Saudi.

"Selain usaha ke arah memerangi ancaman jenayah rentas sempadan di rantau ini, Malaysia juga mementingkan hubungan dua hala yang akrab dengan negara di rantau Asia Barat," katanya.

355 dibaca
Berita Harian X