;
Rabu, 14 March 2018 | 5:24pm
DATUK Seri Dr S Subramaniam melihat tips penggunaan garam dalam masakan dan info mengenai garam pada majlis pelancaran Minggu Kesedaran Garam Sedunia di Kementerian Kesihatan hari ini.- Foto BERNAMA

Rakyat Malaysia ambil garam melebihi purata

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia didapati mengambil garam secara purata sebanyak 7.15 gram sehari, melebihi syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lima gram atau kurang satu sudu teh.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam, ketika mendedahkan kajian 'My Salt 2015' di sini hari ini berkata berdasarkan kajian sama, pengambilan garam berlebihan itu diambil oleh rakyat berusia 18 tahun ke atas, namun beliau percaya jumlah pengambilan garam lebih tinggi bagi rakyat berusia 18 tahun ke bawah.

Mengikut Kajian itu, nasi goreng, nasi lemak, budu dan nasi ayam antara 20 hidangan kegemaran rakyat Malaysia yang disenaraikan Kementerian Kesihatan mengandungi kandungan garam tinggi.

Pengambilan garam berlebihan berisiko diserang penyakit darah tinggi, jantung dan angin ahmar jika tidak dikawal.

Berdasarkan kajian sama, kicap cair berada di kedudukan pertama bagi makanan yang mempunyai kandungan garam tinggi diikuti nasi goreng, telur dadar, nasi lemak, kicap pekat dan sup daging lembu.

"Kami mendapati kanak-kanak di bawah umur lebih cenderung mengambil makanan mengandungi kandungan garam tinggi seperti makanan diproses, snek dan makanan ringan," katanya pada sidang media sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2018 bertema, '5 Cara Capai 5 Gram Garam' di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit darah tinggi dan jika tidak dikawal boleh mengundang penyakit jantung dan angin ahmar serta boleh menyebabkan kematian.

Katanya antara makanan kegemaran rakyat Malaysia yang perlu dikawal termasuk sos cili, sos tomato, makanan dalam tin, nugget, burger, makanan diawet, ikan bilis, ikan masin dan keropok.

Beliau berkata WHO menyarankan pengambilan garam seharusnya tidak melebihi lima gram atau kurang daripada satu sudu teh sehari.

"Selain itu, WHO juga meletakkan sasaran untuk mengurangkan pengambilan garam sehingga 30 peratus menjelang 2025.

"Bagi Malaysia, kementerian menetapkan sasaran pengurangan pengambilan garam daripada 8.7 gram kepada enam gram menjelang 2025," katanya.

Beliau berkata, kajian My Salt 2015 yang dilakukan dalam kalangan anggota kementerian mendapati mereka mengambil 7.15 garam sehari, melebihi sasaran yang disyorkan.

Katanya menerusi minggu kesedaran bermula 12 hingga 18 Mac, lima langkah perlu dilakukan individu bagi mengurangkan pengambilan garam kepada lima gram sehari termasuk pilih untuk makan secara sihat; beransur-ansur kurangkan pengambilan garam; menggantikan garam dengan rempah ratus dan perisa asli; lebihkan pengambilan sayur dan kerap makan di rumah.

"Saya menyeru kepada rakyat Malaysia agar lebih prihatin dengan mengambil langkah mudah ini, sekali gus menyokong usaha kementerian mengurangkan pengambilan garam di Malaysia," katanya.

Senarai makanan yang mempunyai kandungan garam tinggi (mengikut ranking):

1. Kicap cair

2. Nasi goreng

3. Telur dadar

4. Nasi lemak

5. Kicap pekat

6. Roti canai

7. Sup daging lembu

8. Mi goreng

9. Sos tiram

10. Mi segera

11. Sos cili/ tomato

12. Sambal belacan

13. Budu

14. Nasi ayam

15. Sayur goreng

16. Ikan masak sambal

17. Ayam goreng berempah

18. Bebola kek

19. Kueh teow goreng

20. Bihun goreng

1073 dibaca
Berita Harian X