;
Rabu, 14 March 2018 | 1:15pm
DATUK Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz. - Foto Roslin Mat Tahir

Undang-undang berita palsu perlu dipercepatkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempercepatkan penggubalan rang undang-undang mengekang berita palsu supaya pemikiran rakyat tidak diracuni berita palsu daripada pembangkang terutama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) berkata, sejarah pada PRU-13 menyaksikan pembangkang melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Barisan Nasional (BN) termasuk menyebar cerita membawa masuk ribuan warga Bangladesh untuk mengundi.

Katanya, sementara menunggu undang-undang itu digubal, beliau mencadangkan kerajaan mempertingkatkan pemantauan dan tindakan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi menangani gejala penyebaran berita palsu.

"Saya berasa hairan apabila ada rakan pembangkang yang seperti 'cacing kepanasan' apabila kerajaan mengumumkan mahu menggubal undang-undang itu. Ada yang menganggap penggubalan undang-undang itu bertujuan menghalang kebebasan bersuara.

"Tetapi pada masa sama, mereka mendakwa turut menjadi mangsa berita palsu. Inilah yang saya hairan. Kalau betul menjadi mangsa, maka langkah kerajaan menggubal undang-undang itu perlu disokong, bukan ditentang," katanya ketika membahaskan titah menjunjung kasih ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Ikmal Hisham turut membangkitkan persoalan adakah penentangan pembangkang terhadap penggubalan undang-undang itu bakal menyebabkan mereka kehilangan satu senjata untuk berdepan PRU.

"Jika tidak ada agenda tersembunyi, parti pembangkang perlu menyokong penuh penggubalan undang-undang ini," katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan menubuhkan satu pasukan pemantauan khas diletakkan di bawah Jabatan Peguam Negara yang dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memerangi berita palsu sementara menunggu undang-undang itu digubal.

"Saya menggesa kerajaan jangan berundur dalam usaha menggubal undang-undang berita palsu kerana ia bukan bermotif politik tetapi demi menjaga keselamatan negara serta keharmonian rakyat," katanya.

352 dibaca
Berita Harian X