Selasa, 20 Februari 2018 | 1:25pm

Pembangkang perlu akur keputusan mahkamah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak terutama pembangkang supaya mematuhi keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu berlapang dada dengan keputusan mahkamah kerana ia dibuat berdasarkan sistem perundangan dan Perlembagaan negara.

"Kita harus mematuhi keputusan dibuat mahkamah dan tindakan susulan harus dilakukan SPR. Kami sebagai kerajaan juga akur dengan sebarang keputusan dibuat mahkamah.

"Parti politik harus akur dengan keputusan mahkamah kerana ia mengikut sistem perundangan dan garis panduan dalam Perlembagaan negara kita," katanya pada sidang media selepas majlis prapelancaran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-16 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Masir Kujat.

Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan cadangan SPR untuk melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.

Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, tindakan SPR berhubung urusan persempadanan semula itu tidak mengikat mana-mana pihak dan oleh itu tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.

Beliau menyatakan demikian dalam keputusan menolak dua permohonan dikemukakan dua anggota Parlimen DAP dari Perak dan tujuh pengundi dari Melaka bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak menyebelahi mereka berhubung semakan semula kehakiman.

3430 dibaca
AHMAD Zahid ketika menyampaikan ucapan sempena majlis pelancaran 'NATSEC Asia 2018' di MITEC. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
AHMAD Zahid dan Hishammuddin hadir pada majlis prapelancaran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-16 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
AHMAD Zahid dan Hishammuddin hadir pada majlis prapelancaran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-16 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Berita Harian X