Khamis, 15 Februari 2018 | 1:05am

Jangan letak kenderaan di bahu jalan di Cameron Highlands

IPOH: Polis meminta kerjasama pengguna jalan raya yang bercuti di Cameron Highlands supaya tidak meletakkan kenderaan di kawasan larangan, terutama di bahu jalan bagi mengelak kesesakan teruk sempena Tahun Baharu Cina, pada Jumaat dan Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A.Hamid, berkata ia berikutan pusat percutian itu dijangka mengalami peningkatan berganda kenderaan yang mengakibatkan jalan padat dan sesak di kawasan berkenaan.

Beliau berkata lokasi dijangka mengalami kesesakan adalah di sekitar kawasan Kea Farm, Brinchang dan Tanah Rata yang merupakan kawasan tumpuan pelancong serta berhampiran jalan utama.

"Penunggang atau pemandu dinasihatkan sentiasa berhemah dan berwaspada, memerhatikan dengan cermat pengguna jalan raya lain serta tidak menjadi punca berlakunya kesesakan dan mengelak kemungkinan terlibat kemalangan.

"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan mematuhi had laju yang dibenarkan dan tidak memotong barisan. Polis akan menjalankan penguatkuasaan sepenuhnya dan toleransi sifar atas kesalahan ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hasadid berkata, bagi penunggang motosikal yang berkonvoi perlu mengikut undang-undang dan tiada perkhidmatan 'marshall' dibenarkan bagi tujuan iringan atau menahan kereta.

Beliau juga meminta pengunjung yang pertama kali ke Cameron Highlands supaya peka dengan papan isyarat lalu lintas di sekitar pekan Brinchang.

"Laluan berkenaan dijadikan laluan sehala bagi melancarkan lagi pergerakan kenderaan.

"Pelancong mahupun orang tempatan diminta mematuhi laluan sehala berkenaan dan tidak memandu atau menunggang melawan arus untuk mengelak risiko berlaku kemalangan," katanya. - BERNAMA

3814 dibaca
Berita Harian X