Rabu, 14 Februari 2018 | 10:07pm
PENGERUSI Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (tengah) bersama Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi (kiri) dan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Tan Sri Ibrahim Abu Shah (dua kanan) mengangkat playkad Perangi Fitnah sempena Majlis Penutup Seminar Perangi Fitnah Media Sosial di Bangunan UMNO Selangor. - Foto Muhammad Sulaiman

Kenapa takut undang-undang berita palsu? - Ahmad Maslan

SHAH ALAM: Keengganan pakatan pembangkang menyokong cadangan undang-undang berita palsu menggambarkan sikap mereka yang terdesak menggunakan cara kotor untuk memenangi pilihan raya umum (PRU).

Pengerusi Biro IT dan Media Sosial UMNO, Datuk Ahmad Maslan turut mempersoalkan sikap pemimpin pembangkang yang seolah-olah takut dengan cadangan itu, sedangkan ia bertujuan untuk melindungi kepentingan rakyat.

"Kenapa pihak di sebelah sana (pakatan pembangkang) takut dengan undang-undang berita palsu? Ini yang saya pelik kenapa (takut).

"Kalau kita cakap benda benar, kita tidak perlu takut kerana undang-undang ini untuk lindungi semua sama ada individu, ahli politik, artis dan institusi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Perangi Fitnah Media Sosial di Bangunan UMNO Selangor, di sini, hari ini,

Ahmad Maslan berkata, pakatan pembangkang sering menyebarkan fakta tidak tepat dan memanipulasi fikiran rakyat menerusi media sosial.

"Contohnya pada PRU lalu, pembangkang sebarkan kononnya mereka sudah menang PRU. Ketika itu waktu baru jam 4 petang, mereka sudah tahu menang? Sedangkan undi pun tidak habis kira lagi.

"Apabila pada jam 8 malam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umum Barisan Nasional (BN) menang PRU, maka pembangkang memulakan gerakan fitnah.

"Pembangkang fitnah, BN kononnya gunakan pengundi Bangladesh, menipu dakwat kekal dan lampu di pusat pengiraan undi dipadamkan. Ingatlah ftnah perkara dahsyat yang boleh meruntuhkan negara serta menghancurkan sebuah keluarga," katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata draf mengenai perincian berkaitan dengan undang-undang berita palsu dijangka dibentang ke Kabinet selepas Tahun Baharu Cina.

Azalina, berkata antara yang akan dibentangkan ialah mengenai definisi berita palsu dan hukuman yang sesuai kepada penyebar berita palsu.

Katanya, sebanyak tiga sesi perbincangan diadakan dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil media, agensi undang-undang serta pemimpin masyarakat mengenai undang-undang berita palsu itu.

673 dibaca
Berita Harian X