Rabu, 14 Februari 2018 | 10:02pm
PENGARAH Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bersama Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Eric See -To menunjukkan bukti surat Pejabat Daerah Tanah Kuala Selangor ketika sidang media mengenai isu tanah di Ijok, Selangor. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Azmin perlu perjelas isu tanah Ijok

CYBERJAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dituntut memberi penjelasan berhubung tindakan tergesa-gesa kerajaan negeri Selangor menyerahkan tanah bernilai RM1.18 bilion di mukim Ijok kepada dua syarikat pada 2016.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata tindakan menyerahkan tanah seluas kira-kira 880 hektar itu sebelum kes berkenaan didengar di Mahkamah Persekutuan, menimbulkan pelbagai persoalan kerana keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada kerajaan negeri dalam isu mendapatkan balik tanah itu.

"Apa justifikasi Azmin menyerahkan tanah ini kepada Mujur Zaman Sdn Bhd dan LCBN Development Sdn Bhd, sedangkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada keputusan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, untuk mengambil semula tanah itu.

"Kenapa Azmin tidak menunggu kes ini didengar dulu di Mahkamah Persekutuan, memandangkan kerajaan negeri menang kes itu. Kenapa tergesa-gesa membuat keputusan yang merugikan kerajaan negeri dan rakyat Selangor," katanya ketika ditemui pada sidang media di sini, hari ini.

Pada November tahun lalu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta siasatan dijalankan terhadap isu tanah yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada dua syarikat itu.

Abdul Rahman berkata, pada 2008, apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kepemimpinan negeri Selangor, Abdul Khalid mengambil alih semula tanah kerajaan negeri yang dimiliki oleh syarikat Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd kerana pelanggaran syarat dan terma perjanjian di bawah Kanun Tanah Negara.

Katanya, perlanggaran syarat itu, termasuk tidak membayar premium tanah, tidak menukar syarat tanah pertanian kepada tanah perumahan dan tidak membayar premium tukar syarat tanah.

Beliau berkata, Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd kemudiannya menyaman kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar Selangor di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan balik tanah berkenaan dan keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober 2013 memihak kepada kerajaan negeri dan Abdul Khalid.

"Syarikat Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd kemudian merayu ke Mahkamah Rayuan dan keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Februari 2014 juga memihak kepada kerajaan Selangor dan Menteri Besar Selangor.

"Susulan itu, kedua-dua syarikat itu kemudian merayu kekalahan mereka di dalam Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

"Pada 2014, semasa Azmin menjadi Menteri Besar, dan sebelum Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan kes ini, Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd dan beberapa syarikat berkaitan pada 22 September 2015 membuat perjanjian dengan sebuah syarikat awam untuk menjual tanah kira-kira 880 hektar dengan harga RM1.18 bilion.

"Pada 17 Mei 2016 Azmin memfailkan satu perjanjian penyelesaian kepada Mahkamah Persekutuan bahawa kerajaan Selangor dan Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd bersetuju untuk membatalkan kes ini," katanya.

Abdul Rahman berkata, Mohamed Azmin seterusnya membuat keputusan menyerahkan semula tanah itu kepada Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd dan syarat penting serta wajib dalam perjanjian penyelesaian itu ialah penjualan tanah mesti dibuat kepada syarikat awam yang berkenaan.

"Saya juga ingin persoalkan adakah bekas pengarah kepada kedua-dua syarikat itu, Datuk Khairuddin Abu Hassan yang juga penyokong tegar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempengaruhi keputusan Azmin ini?" katanya.

Selain itu, Abdul Rahman turut mempersoalkan isu pampasan kepada 980 peneroka berbentuk pampasan tunai RM180,000 setiap seorang dan sebuah rumah bernilai RM250,000 seorang yang diberikan baru-baru ini.

"Jumlah besar pampasan yang diumumkan oleh Azmin Ali bernilai RM421.4 juta, jadi di mana baki RM758.6 juta," katanya yang mempersoalkan ke mana sebenarnya hasil jualan RM1.18 bilion yang dibuat dua syarikat berkenaan disalurkan.

1244 dibaca
Berita Harian X