Rabu, 14 Februari 2018 | 5:53pm
PENCERAMAH Bebas, Azmil Mustapha. - Foto Roslin Mat Tahir

Kehilangan besar industri filem - Zahid

KUALA LUMPUR: Pemergian Azmil Mustapha disifatkan sebagai kehilangan besar dan akan dirasai industri perfileman negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bakat ditonjolkan 'anak seni' yang terkenal dengan jolokan 'Ali Setan' ketika membintangi filem pada 1985 itu masih segar dalam ingatan segenap rakyat Malaysia.

"Filem Mekanik, Ali Setan lakonan arwah Azmil Mustapha tidak jemu-jemu kita tonton hingga sekarang.

"Pemergian beliau kehilangan besar dan dirasai industri perfileman negara. Takziah buat seluruh ahli keluarga.

"Semoga dicucuri rahmat Allah. Al-Fatihah," katanya menerusi catatan di laman Twitter rasminya, @Zahid_Hamidi, hari ini.

Berita pemergian Azmil tersebar apabila dikatakan mengalami akibat sakit jantung di kediaman keluarganya di Shah Alam, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Bintang filem Mekanik pada 1983 yang membawakan watak Shamyl sehingga mencecah kutipan 'pecah panggung' itu menghembuskan nafas pada usia 65 tahun.

Allahyarham meninggalkan dua bekas isteri dan lima anak.

1901 dibaca
Berita Harian X