Selasa, 13 Februari 2018 | 11:05pm

Roti canai hitam? Sedap ke?

PERMAISURI: Idea kreatif seorang wanita anak dua memperkenalkan menu roti canai hitam sebagai pilihan kepada penggemar roti canai, memberi tuah apabila menerima sambutan baik masyarakat.

Nurul Safikah Hassan, 32, berkata segalanya bermula apabila dia sering mendengar keluhan pelanggan, terutama golongan warga emas yang terpaksa melupakan hasrat untuk kerap makan roti canai, kerana bimbang kandungan kolestrol yang tinggi.

"Daripada situ saya berbincang dengan suami, Amri Mustafa, 40, bagaimana mahu bantu pelanggan yang berdepan dengan situasi ini.

"Hasil daripada pemerhatian, pembacaan dan meminta khidmat nasihat daripada doktor, kami cuba memanfaatkan khasiat serbuk arang sebagai antara ramuan utama roti canai hitam," katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Pak Kancil Dalam, di sini. 

Beliau yang mesra dipanggil Kak Long berkata, serbuk arang khas untuk makanan yang diimport dari Jepun itu dikatakan mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan dan sering digunakan untuk membuat roti atau kek.


ROTI canai chicken chop menggunakan dua keping roti canai biasa dan roti canai hitam. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

NURUL Safikah Hassan menunjukkan roti canai hitam yang dihasilkan kedainya di Kampung Pak Kancil Dalam, Permaisuri. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

"Pada peringkat awal memang ada pelanggan yang pelik dengan rupa roti canai ini yang berbeza daripada biasa, namun daripada segi rasa tetap sama.

"Arang mudah didapati di kedai yang menjual bahan membuat kek dan ini membantu kami mendapatkan bahan mentah ini dengan mudah.

"Sejak diperkenalkan akhir tahun lalu, purata setiap hari lebih 100 biji roti canai hitam ditempah pelanggan," katanya.

Menariknya, walaupun roti canai ini lain daripada biasa, Nurul Safikah yang juga bekas pelajar jurusan teknologi maklumat universiti di Thailand mengekalkan harga jimat RM1 bagi roti canai hitam kosong.

"Cuma apabila pelanggan mahu roti canai hitam untuk menu lain, contohnya roti canai hitam piza, harga dikenakan hanya RM3," katanya.


NURUL Safikah Hassan, 32, menunjukkan cara menghasilkan roti canai hitam di Kampung Pak Kancil Dalam, Permaisuri. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

Bakat dan minat memasak sejak di alam sekolah rendah mendorong Nurul Safikah untuk rajin mencipta menu masakan baru.

"Sejak memulakan perniagaan ini lebih setahun lalu, saya sudah menghasilkan lebih 100 resipi menu roti canai.

"Resipi yang terbaru minggu lalu, iaitu roti canai 'chicken chop' dan digemari pelanggan yang datang ke kedai kami.

"Idea menghasilkan resipi baru datang apabila melihat pelbagai jenis resipi masakan. Ada juga permintaan pelanggan dan saya cuba olah supaya ia sesuai digandingkan bersama roti canai," katanya.

Beliau berkata, antara roti canai yang sering mendapat permintaan ialah roti canai piza, roti aiskrim, roti patkrapaw, roti kelapa muda dan roti strawberi.


NURUL Safikah Hassan, 32, bersama pelanggan yang datang menjamu selera di kedainya di hadapan Sekolah Kebangsaan Putera Jaya di Permaisuri, Setiu - Foto Nurul Fatihah Sulaini

"Apabila tiba musim buah, kami turut menyediakan roti canai durian dan mempelam mengikut permintaan pelanggan.

"Setiap kali ada menu baru, saya akan beri pelanggan cuba dahulu. Apabila menerima respon positif baru dijual untuk pelanggan lain," katanya.

Walaupun masih setahun jagung, pasangan muda ini sudah memiliki tiga cawangan roti canai dengan lebih 100 menu.

"Cawangan pertama di Kampung Pak Kancil Dalam yang diusahakan saya sendiri bermula jam 2 petang hingga malam.

"Cawangan kedua pula dalam Kolej Universiti Bestari yang dikendalikan suami, manakala cawangan ketiga di depan Sekolah Putera Jaya bermula seawal 6 pagi hingga 2 petang," katanya.

Nurul Safikah yang juga anak sulung daripada lima beradik berkata, walaupun mempunyai banyak idea, namun disebabkan kekangan modal perniagaan hanya mampu dibuat secara kecil-kecilan.

#kw roti canai hitam, roti canai, permaisuri

Berita Harian X