Sabtu, 13 Januari 2018 | 7:24pm
MUHAMMAD Afizee Abu Bakar (tengah), Muhamad Airiel Hakeem Mohd Afiza (kiri) dan Nur Airiena Harissha Mohd Afiza menunggang basikal sambil memakai baju tebal ketika ditemui di Kuala Pilah. - Foto Amran Yahya

Teruja cuaca sejuk

KUALA PILAH: Cuaca sejuk daripada biasa hingga mencecah 21 darjah Celcius direkodkan di daerah ini, mencetus fenomena baharu bagi penduduk yang mengakui tidak pernah merasai suasana sedemikian, sebelum ini.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian mereka, terutama kanak-kanak berpakaian tebal pada waktu pagi dan malam, walaupun ketika berada di dalam rumah.

Seorang guru, Mohd Afiza Abu Bakar, 39, berkata fenomena berkenaan agak luar biasa bagi penduduk di daerah berkenaan yang sudah biasa dengan cuaca panas.

"Cuaca sejuk memang pernah berlaku di daerah ini dua tahun lalu berpunca daripada tempias tiupan angin luruan disebabkan tekanan tinggi di China.

"Bagaimanapun, ketika itu suhu tidak sejuk seperti kali ini yang diikuti hujan tanpa henti. Saya mengarahkan semua ahli keluarga memakai pakaian tebal dan menggunakan selimut ketika tidur," katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu Kikir di sini, hari ini.

Sementara itu, anak lelakinya, Muhamad Airiel Hakeem, 18, berkata suasana sejuk ketika ini membuatkan dia berasa seperti berada di Cameron Highlands.

"Kami pernah beberapa kali pergi ke Cameron Highlands dan suka dengan cuaca serta suhu di tanah tinggi itu. Justeru, kami gembira kerana suasana sedemikian dirasai di Batu Kikir," katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi mengesahkan beberapa kawasan terutama di selatan Semenanjung mengalami penurunan suhu dengan Kuala Pilah merekodkan paling rendah iaitu 21 darjah Celsius sejak tengah malam hingga awal pagi.

Sementara itu, Pengarah Meteorologi Negeri Sembilan, Mohammad Redzuan Abdul Moin, ketika dihubungi berkata cuaca sejuk itu dijangka kembali seperti biasa hari ini.

Beliau berkata, sejak tujuh hari lalu, suhu maksimum direkodkan di daerah ini adalah 29 darjah Celcius manakala suhu terendah adalah 21 darjah Celcius.

20414 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »