Sabtu, 13 Januari 2018 | 6:47pm
ANGGOTA bomba membantu sebahagian mangsa banjir berpindah ke PPS Sekolah Agama Pengkalan Batu, Mersing. - Foto Mohd Sah Muda
ANTARA mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Labong Endau. - Foto Mohd Sah Muda

Segamat, Mersing, Kota Tinggi banjir

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Segamat, Mersing dan Kota Tinggi mencatat peningkatan apabila seramai 1,122 mangsa daripada 306 keluarga dipindahkan ke 12 pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata setakat jam 5 petang, sebuah PPS baharu di Kota Tinggi iaitu Balai Raya Kampung Perepat, dibuka bagi menempatkan 14 mangsa daripada tiga keluarga.

Katanya, seramai 103 mangsa daripada 22 keluarga dipindahkan di empat PPS Segamat, manakala seramai 1,005 mangsa daripada 281 keluarga dipindahkan di tujuh PPS Mersing.

"Di Segamat, hanya PPS Balai Raya Gemereh 4 Batu Badak mempunyai peningkatan jumlah mangsa banjir iaitu 60 orang daripada 16 keluarga, manakala tiga lagi PPS masih menempatkan jumlah yang sama dengan keseluruhan 43 mangsa daripada enam keluarga.

"Di Mersing, tiga daripada tujuh PPS mempunyai pertambahan jumlah mangsa iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan menempatkan 168 mangsa daripada 48 keluarga dan Sekolah Agama Pengkalan Batu yang menempatkan 137 mangsa daripada 38 keluarga.

"Turut meningkat, SK Labong menempatkan 154 mangsa daripada 39 keluarga,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ayub berkata, Jalan Telok Arong (J214) di Mersing ditutup semua untuk lalu lintas akibat runtuhan cerun dan laluan alternatif dicadangkan ialah Jalan Tanjung Resang (J183), Jalan Mersing/Endau (FT003) dan Jalan Air Papan (J79).

Katanya, Kampung Batu 7 Jementah di Segamat dilaporkan terputus hubungan dab pemantauan berterusan akan dijalankan oleh agensi berkaitan dan pejabat daerah.

1212 dibaca
Berita Harian X