Sabtu, 13 Januari 2018 | 6:08pm
ANNUAR beramah mesra dengan sebahagian peserta yang menyertai acara sukaneka futsal berkain pelikat pada Karnival Tentera Bersama Rakyat di SMK Kok Lanas, di Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
ANNUAR mengambil bahagian dalam acara sukaneka boling padang baling buah kelapa pada Karnival Tentera Bersama Rakyat di SMK Kok Lanas, di Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
ANNUAR menendang bola ketika menyertai acara sukaneka futsal berkain pelikat pada Karnival Tentera Bersama Rakyat di SMK Kok Lanas, di Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

Hubungan baik bawa banyak pembangunan ke Kelantan

KOTA BHARU: UMNO menyambut baik sikap keterbukaan kerajaan PAS Kelantan memuji pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menganggap tidak 'menganaktirikan' negeri ini sekali gus memberi lebih banyak peluang pembangunan.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata pengakuan yang dibuat Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilihat secara positif sebagai peluang baik kedua-dua kerajaan mejadikan Kelantan sebagai sebuah negeri yang membangun.

Beliau berkata, UMNO mengambil pendekatan positif atas sikap itu dan memandang ke hadapan dalam memberi kerjasama kepada kerajaan negeri membangunkan Kelantan.

"Kita nak tengok Kelantan maju...kita berjuang sebab nak tengok rakyat kita dapat kebaikan dan dengan sikap baru ini kita pandang ke depan...dalam erti kata lain ini peluang paling molek (baik) nak transformasi Kelantan," katanya ketika ditemui dalam Karnival Tentera Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kok Lanas, di sini, hari ini.

BH Online kelmarin melaporkan kerajaan PAS Kelantan mengakui era pemerintahan Najib jauh lebih baik berbanding zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dalam memberi kebaikan kepada rakyat di negeri ini.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, keadaan itu berikutan terdapat kerjasama baik antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan ketika ini sehingga membawa banyak perubahan kepada Kelantan.

Annuar Musa berkata, sikap positif kerajaan negeri juga tepat pada masanya apatah lagi Kerajaan Pusat di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sedang menjalankan pelbagai projek pembangunan di negeri ini termasuk projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL).

"Projek ini besar...kalau 100 tahun pun tak mungkin dapat peluang ni. Kita bersyukur Perdana Menteri terbuka hati nak beri peluang pembangunan itu di sini (Kelantan).

"Melalui projek ini pelbagai projek infrastruktur lain akan dibangunkan sekali termasuk pembesaran besarkan lapangan terbang kerana jika mahu bawa ECRL, lain-lain kemudahan prasarana kena sedia sekaligus menjadikan Kelantan mempunyai potensi pembangunan lebih besar dan dapat tarik pelaburan ke negeri ini.

"Secara tidak langsung juga pembangunan ini dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Kelantan kerana ratusan ribu rakyat negeri ini kebanyakan terpaksa berhijrah ke luar negeri bagi mencari pekerjaan," katanya.

1002 dibaca
Berita Harian X