Sabtu, 13 Januari 2018 | 6:02pm
PENDUDUK Kampung Kalong terpaksa meredah air banjir selepas jalan utama ke kampung berkenaan dinaiki air banjir di Sungai Miang, Pekan. - Foto Farizul Hafiz Awang
MOHD Faizal Mat Amin (kiri) membantu warga emas, Faridah Ali Husin, 60, (tengah) membawa barang keperluan selepas Kampung Kalong terputus hubungan berikutan banjir di Sungai Miang, Pekan. - Foto Farizul Hafiz Awang

Kuantan pula banjir

KUANTAN: Kuantan menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di Pahang apabila seramai 49 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata daripada jumlah itu, 29 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Sri Damai manakala 20 mangsa daripada lima keluarga di Dewan Orang Ramai Kampung Pahang.

"Ini menyebabkan jumlah mangsa banjir keseluruhan di negeri ini meningkat kepada 1,564 orang membabitkan 406 keluarga ditempatkan di 17 PPS di empat daerah termasuk Kuantan setakat jam 5 petang tadi.

"Pekan masih kekal sebagai daerah paling ramai mangsa iaitu membabitkan seramai 1,223 orang daripada 312 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, 10 PPS berkenaan adalah SK Sinar Mutiara yang menempatkan seramai 375 mangsa daripada 94 keluarga; SK Permatang Keledang (322 mangsa, 81 keluarga); SMK Peramu Jaya (136 orang, 35 keluarga); SK Temai (93 orang, 24 keluarga) dan Pusat Pemindahan Pulau Manis (75 orang, 22 keluarga).

"Selain itu, PPS lain ialah Pusat Pemindahan Kampung Lamir membabitkan 55 orang daripada lapan keluarga; SK Sri Biram (73 orang, 21 keluarga); Dewan Serbaguna Tanjung Pulai (39 orang, 14 keluarga); SK Seri Terantang (46 orang, 9 keluarga), SK Acheh (9 orang, dua keluarga)," katanya.

Zainal berkata, jumlah mangsa di Rompin pula meningkat kepada seramai 283 mangsa daripada 77 keluarga masih ditempatkan di empat PSS sejak kelmarin.

"Empat PPS berkenaan adalah iaitu di Balai Raya Setajam yang menempatkan seramai 119 orang daripada 230 keluarga; Dewan Orang Ramai Leban Chondong (71 orang, 22 keluarga); SK Tekek (63 orang, 15 keluarga) dan Dewan Serbaguna Desa Wawasan Kampung Pianggu (31 mangsa, 10 keluarga).

"Di Raub pula hanya sebuah PPS dibuka iaitu Masjid Jamek Kampung Kuala Semantan yang menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga," katanya.

1360 dibaca
Berita Harian X