Sabtu, 13 Januari 2018 | 5:59pm
MAHDZIR bersalaman bersama ibu-bapa yang hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Baucar Peralatan Sekolah di Dewan Tun Syed Ahmad, SMK Dato Syed Ahmad, Kuala Nerang. - Foto Sharul Hafiz Zam

2,000 bilik darjah PAK-21 siap Mac ini

PADANG TERAP: Kementerian Pendidikan menjangka 2,000 bilik darjah pintar untuk pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) akan dapat disiapkan selewat-lewatnya Mac ini.

Menteri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya akan mengguna pakai peruntukan RM190 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2018.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak swasta yang ingin bekerjasama membantu melengkapkan kemudahan di sekolah yang dikenal pasti, bagi menyokong pelaksanaan PAK-21 yang menjadi sebahagian daripada Program Transformasi Digital Kementerian Pendidikan.

"Ada sesetengah sekolah sudah dapat peruntukan dan saya difahamkan ada yang dapat sokongan NGO serta swasta dan mereka sudah mula menaik taraf bilik darjah terbabit.

"Kita alu-alukan sumbangan seperti yang dilakukan TM Bhd untuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad, dengan menyediakan kemudahan internet berkelajuan hingga 100 megabit sesaat (Mbps)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan penyampaian baucar persekolahan 'Back to School' bersama TM Bhd di SMK Dato Syed Ahmad, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut berpeluang merasai sendiri pengalaman pembelajaran secara digital dikendalikan guru untuk pelajar SMK Dato Syed Ahmad, selain menyertai persidangan video secara langsung dengan guru dari Sekolah Tun Fatimah, Johor.

PAK-21 menekankan pembelajaran berpusatkan murid dan berunsurkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dilaksanakan dengan penyediaan bilik darjah bersesuaian dan disusuli penyediaan rancangan mengajar serta pelaksanaan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) abad ke-21.

Hingga kini projek perintis PAK-21 dilaksanakan di tiga sekolah iaitu di Sekolah Dato Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah masing-masing di Negeri Sembilan dan Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya.

Mengenai pemilihan sekolah untuk menyertai PAK-21, Mahdzir berkata, pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengenal pasti, namun ia akan meliputi semua membabitkan sekolah menengah, sekolah kebangsaan serta sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan India.

"Hingga kini kita sudah kenal pasti sekolah yang akan dilengkapi kemudahan itu melalui fasa pertama, yang mana setiap sekolah mungkin disediakan dua hingga tiga bilik darjah PAK-21.

"Apa yang penting soal penyambungan khususnya internet memainkan peranan utama dan TM Bhd sendiri mungkin menjadi badan berkaitan kerajaan (GLC) yang akan memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam usaha ini," katanya.

568 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »