Sabtu, 13 Januari 2018 | 10:51am
MANGSA banjir berada di dalam khemah khas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Tanjung Pulai. - Foto BERNAMA

Mangsa banjir di Pahang meningkat lagi

KUANTAN: Mangsa banjir yang dipindahkan di negeri ini terus meningkat kepada 1,452 orang daripada 375 keluarga setakat jam 10 pagi, berbanding 1,290 orang membabitkan 331 keluarga, malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff, semua mangsa ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah termasuk Raub yang baharu dibuka pagi ini.

"Pekan masih daerah paling ramai mangsa iaitu seramai 1,210 orang daripada 310 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, 10 PPS berkenaan adalah SK Seri Mutiara yang menempatkan seramai 375 mangsa daripada 94 keluarga; SK Permatang Keledang (322 mangsa, 81 keluarga); SMK Peramu Jaya (136 orang, 35 keluarga); SK Temai (93 orang, 24 keluarga) dan Pusat Pemindahan Pulau Manis (75 orang, 22 keluarga).

"PPS lain ialah Pusat Pemindahan Kampung Lamir membabitkan 55 orang daripada lapan keluarga; SK Sri Biram (67 orang, 20 keluarga); Dewan Serbaguna Tanjung Pulai (39 orang, 14 keluarga); SK Seri Terentang (39 orang, 8 keluarga), SK Acheh (9 orang, dua keluarga)," katanya.

Di Rompin, seramai 239 mangsa daripada 64 keluarga masih ditempatkan di tiga PSS sejak kelmarin.

"Tiga PPS iaitu di Balai Raya Setajam yang menempatkan 104 orang daripada 26 keluarga; Dewan Orang Ramai Leban Chondong (72 orang daripada 23 keluarga) dan SK Tekek (63 orang daripada 15 keluarga).

Di Raub, hanya sebuah PPS dibuka iaitu Masjid Jamek Kuala Semantan yang menempatkan tiga mangsa daripada sebuah keluarga.

Berdasarkan laman web infobanjir.water.gov.my sehingga jam 10 pagi, bacaan paras air di tiga sungai di negeri ini melepasi tahap amaran atau jingga yang boleh menyebabkan kawasan sekitar dinaiki air.

Tiga sungai itu ialah Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, di sini dengan bacaan 29.27 meter (30.00 meter paras bahaya), Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan 10.25 meter (10.30 meter paras bahaya) dan dan Sungai Belat di Seri Damai di sini 4.18 (5.00 meter paras bahaya).

636 dibaca
Berita Harian X