Khamis, 4 Januari 2018 | 9:27am
Seorang kanak-kanak leka bermain sampan di sebatang jalan yang telah ditenggelami banjir di Kampung Batu 14 Air Putih Kemaman. - Foto BERNAMA

Mangsa banjir di Terengganu meningkat

KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu yang masuk hari keempat semakin buruk apabila 1,001 mangsa daripada 264 keluarga dipindahkan ke 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman dan Dungun.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, melaporkan peningkatan mendadak jumlah mangsa berlaku di Kemaman, manakala jumlah mangsa di Dungun tidak berubah.

Peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir kepada 903 orang daripada 236 keluarga setakat jam 8 pagi ini berbanding 329 orang (109 keluarga) malam tadi, berpunca daripada hujan lebat tanpa henti yang bertembung dengan air pasang besar.

PPS baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 415 orang daripada 87 keluarga.

Enam PPS lain ialah Surau Pulau Tempurung yang menempatkan 38 mangsa daripada tujuh keluarga; Dewan Orang Ramai Batu 14 (65 mangsa 16 keluarga); Masjid Kampung Batu 14 (10 mangsa tiga keluarga); SK Chukai (tujuh sekeluarga), Masjid Sungai Mas (20 mangsa tujuh keluarga) dan Masjid Kampung Batu 16 Tebak (19 mangsa enam keluarga).

Empat PPS sedia ada kekal tidak berubah seperti malam tadi, iaitu di Dewan Orang Ramai Teladas dengan 21 mangsa (tiga keluarga), Surau Haji Othman di Kampung Seberang Tayor Hulu (18 mangsa lima keluarga), Surau Kampung Ban Ho di Air Putih (26 mangsa lima keluarga) manakala Kampung Pasir Gajah (12 mangsa empat keluarga).

Di Dungun, jumlah mangsa tidak berubah dengan dua PPS iaitu Dewan Orang Ramai Pasir Raja seramai 77 mangsa (31 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Shukor dengan 175 mangsa (61 keluarga).

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Tebak di Jambatan Tebak melepasi paras bahaya 18.97 meter (m) berbanding 18.50m.

Tiga stesen merekodkan paras sungai melepasi paras amaran dan tiga sungai melepasi paras berjaga-jaga.

Jalan Utama Felda Mengkawang di Kampung Lubuk Periuk di Hulu Terengganu ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air setinggi 0.76m.

674 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »