Khamis, 7 Disember 2017 | 10:44pm
KETUA Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk K. Yogeesvaran (enam dari kanan) menyampaikan anugerah Medal Emas Penyelidikan MPOB Kepada Ketua Kumpulan, Idris Abu Seman (tengah) turut sama Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Kushairi Din (Lima dari kiri) pada Malam Kecemerlangan MPOB 2017 di Hotel Tenera. - Foto Mahzir Mat Isa

Gubal pelan TN50 untuk industri sawit

BANGI: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang menggubal pelan transformasi bagi industri sawit sejajar dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Kiong, berkata ia bagi memastikan kesinambungan industri sawit untuk masa depan.

"Ia sejajar dengan perancangan kerajaan untuk meningkatkan kemajuan dan sumbangan industri sawit.

"Jadi, keupayaan penyelidikan perlu ditingkatkan untuk menghasilkan inovasi baharu yang boleh menjana pendapatan negara dan sumbangannya kepada industri sawit global," katanya dalam ucapan yang dibaca oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk K Yogesvaran.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Kecemerlangan MPOB 2017 di sini, malam ini. Yang turut hadir, Pengerusi MPOB, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Kushairi Din.

Pada majlis itu, kumpulan penyelidik Green Technology Approaches for Management of Ganoderma Diseases in Oil Palm yang diketuai oleh Dr Idris Abu Seman menerima Anugerah Medal Emas Penyelidikan MPOB.

Kejayaan itu membolehkan kumpulan terbabit membawa pulang piala pusingan, pingat emas dan wang tunai RM 50,000 serta sijil penghargaan.

Siew Kiong berkata, dengan Revolusi Industri 4.0, kemajuan teknologi dan komunikasi perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan prestasi perladangan dan komoditi.

Katanya, untuk kekal relevan, MPOB perlu bergerak seiring perkembangan global.

"Industri perladangan perlu memanfaatkan penggunaan teknologi dan rangkaian komunikasi bagi meningkatkan amalan automasi, pengeluaran mampan, peningkatan produktiviti dan kualiti produk," katanya.

669 dibaca
Berita Harian X