Khamis, 7 Disember 2017 | 8:44pm
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah. - Foto Abdullah Yusof

Keputusan mahkamah bukti persempadanan semula telus - SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpandangan, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak semakan kehakiman oleh Kerajaan Negeri Selangor berhubung urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan raya bagi Negeri Selangor adalah tepat.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata keputusan itu sekali gus membuktikan bahawa SPR menjalankan proses urusan persempadanan semula bagi kesemua Negeri-Negeri Tanah Melayu secara telus, selaras kehendak perundangan.

"Keputusan ini juga secara tidak langsung menafikan tuduhan pihak berkenaan terhadap SPR yang didakwa melaksanakan proses ini atas dasar kepentingan pihak tertentu.

"Namun, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan Negeri Selangor untuk menggantung proses inkuiri tempatan bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, sehingga rayuannya diputuskan.

"Sehubungan dengan itu, SPR akur kepada keputusan berkenaan dan akan mematuhinya sehinggalah proses perundangan berkaitan kes ini selesai sepenuhnya atau keputusan sebaliknya diputuskan, sekiranya ada sebarang rayuan difailkan oleh pihak yang terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

326 dibaca
Berita Harian X