Khamis, 7 Disember 2017 | 3:47pm
MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem beramah mesra dengan graduan ketika menghadiri Majlis Graduasi Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 di Pusat Kecemerlangan PROTON di Shah Alam, hari ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Industri 4.0 wujudkan 1.5 juta peluang pekerjaan

SHAH ALAM: Gelombang Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dijangka akan mewujudkan 1.5 juta peluang pekerjaan di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, berkata kerajaan juga menyasarkan kira-kira 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja yang diperlukan itu.

Katanya, Revolusi 4.0 tidak akan mengurangkan jumlah pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

"Memang akan banyak penggunaan automasi, namun pada masa ia mewujudkan pelbagai cabang perniagaan yang memerlukan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi.

"Industri 4.0 memberi cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini yang memerlukan perubahan seiring dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing.

"Sebab itu, penting Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam mendasari keperluan Industri 4.0 bagi memastikan Malaysia berada pada landasan tepat bagi mencapai status negara maju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 di Pusat Kecemerlangan PROTON di sini, hari ini.

Richard Riot berkata, Malaysia masih ketinggalan berbanding negara serantau yang sudah mula bergerak kepada kilang pintar menerusi teknologi digital, robotik dan automasi.

"Negara mungkin ketinggalan berbanding Singapura, namun jangan terkejut jika dengan Thailand dan Vietnam pun kita ketinggalan. Banyak sektor kita masih menggunakan peralatan manual dan cara lama.

"Sebab itu penting untuk mempercepatkan pertumbuhan ekosistem Industri 4.0 dalam kalangan pengilang tempatan.

"Transformasi Industri 4.0 penting memandangkan ia memberi kesan secara menyeluruh kepada pengeluaran dan daya saing negara ini dalam pasaran antarabangsa," katanya.

2667 dibaca
Berita Harian X