Khamis, 23 November 2017 | 3:49pm
MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (empat dari kanan), Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Seri Farid Ridzuan (tiga dari kiri), Wakil Pelukis Kuala Lumpur Biennale 2017, Hock Aun Teh (dua dari kanan), Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Profesor Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa (dua dari kiri), ketika pelancaran KL Biennale 2017 di Balai Seni Negara. - Foto Sairien Nafis
KARYA Under Construction oleh gabungan artis Malaysia dan Indonesia, Pusat Sekitar Seni (PSS) dan Population project yang dikatakan menarik diri daripada pameran KL Biennale di Balai Seni Negara. - Foto Sairien Nafis
ORANG ramai melihat hasil karya Jamil Zakaria yang bertajuk "Lubok" pameran KL Biennale 2017 di Balai Seni Negara. - Foto Sairien Nafis
ANTARA karya Tetriana Ahmed Fauzi yang bertajuk "What Lies Beneath" di Pameran KL Biennale 2017 di Balai Seni Negara. - Foto Sairien Nafis
PAMERAN KL Biennale 2017 di Balai Seni Negara. - Foto Sairien Nafis

KL Biennale angkat martabat seni visual negara

KUALA LUMPUR: Penganjuran Kuala Lumpur Biennale (KL Biennale) sebagai acara bertaraf antarabangsa melonjak martabat seni visual tanah air, sekali gus memusatkan negara sebagai hab pelancongan seni.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata pameran seni berskala besar itu turut membuka peluang dan ruang penggiat seni menembusi pasaran luar.

"Ini kali pertama Biennale dianjurkan di Kuala Lumpur, bertujuan membangunkan aktiviti seni berprofil tinggi dalam mempromosi negara sebagai pendahulu seni kontemporari di Asia Tenggara.

"Saya harap penggiat seni visual negara menyertai KL Biennale kerana anda adalah duta pelancongan negara yang berharga," katanya dalam ucapan perasmian pameran KL Biennale di Balai Seni Negara, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa; Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Seri Farid Ridzuan dan Pengerusi KL Biennale, Johan Ishak.

KL Biennale bermula pada 1 November lalu hingga 31 Mac tahun depan dan pengunjung tidak dikenakan bayaran masuk.

Sementara itu, Mohamed Najib berkata, KL Biennale adalah titik bermulanya pameran berskala besar festival seni visual di negara ini.

Biennale adalah acara bertaraf antarabangsa dianjurkan di seluruh dunia bagi meraikan seni. KL Biennale menampilkan 114 pelukis merangkumi pengkarya tempatan dan pelukis tanah air yang menetap di luar negara, selain pelukis antarabangsa.

"KL Biennale bermatlamat membabitkan pergerakan karya seni kontemporari antarabangsa tanpa perlu pergi jauh.

"Tema pameran adalah 'Alami Belas' yang berasaskan kemampanan dalam mengangkat isu terpinggir. Belas dalam konteks ini boleh diibarat sebagai prihatin, kasih, kasihan, simpati dan sayang," katanya.

Pameran terbahagi kepada lima teras iaitu belas haiwan, ihsan, warisan, alam dan kerohanian.

648 dibaca
Berita Harian X