Khamis, 16 November 2017 | 6:04pm

PERODUA lancar Myvi serba baharu

PUTRAJAYA: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) melancarkan Myvi serba baharu yang ditawarkan pada harga bermula RM44,300 dengan sasaran jualan bulanan kira-kira 6,000 unit.

Ditawarkan dengan lima varian, Myvi generasi ketiga itu sudah mula berada di semua bilik pameran PERODUA di seluruh negara.Harga atas jalan tanpa insuras bagi varian 1.3L Standard G (MT) - RM44,300; 1.3L Standard G (AT)- RM46,300; 1.3L Premium X (AT)- RM48,300; 1.5L High (AT) - RM51,800; dan 1.5L Advance (AT) - RM55,300.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, berkata model serba baharu itu menawarkan teknologi, rekaan berjiwa muda, ruang versatil, dan keselamatan pintar.

Katanya, meskipun belum dilancarkan dan tidak dipertontonkan kepada umum, model berkenaan susah menerima 5,000 tempahan setakat ini.

"Myvi serba baharu ini menawarkan kira-kira 90 peratus kandungan tempatan di mana rekaannya dihasilkan anak tempatan," katanya pada sidang media pelancaran model itu di sini, hari ini.

Myvi serba baharu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,  Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Yang turut hadir, Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin; Presiden Daihatsu Motor Co Ltd, Soichiro Okudaira; dan Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin.

Aminar Rashid berkata, Myvi serba baharu itu menggunakan enjin baharu sepenuhnya yang dihasilkan di kilang PERODUA di Sendayan, Negeri Sembilan.

Mengenai sama ada Myvi akan memasuki pasaran eksport, beliau berkata, PERODUA akan memberi tumpuan kepada pasaran domestik terlebih dulu meskipun eksport turut berada dalam perancangan syarikat.

"Buat masa ini, fokus dan keutamaan kami bagi Myvi ini adalah pasaran domestik dan kami berusaha memenuhi tempahan pelanggan.

"Myvi generasi ketiga ini menawarkan teknologi yang sebelum ini hanya terdapat pada kereta premium. Ia turut menetapkan penanda aras baharu dari segi kualiti, rekaan dan penawaran keseluruhan bagi model masa depan kami," katanya.

Antara ciri utama Myvi serba baharu adalah Advanced Safety Assist yang menawarkan empat fungsi utama.

Empat fungsi utama itu ialah Pre-Collision Warning Alert; Pre-Collision Braking; Front Departure Alert; dan Pedal Misoperation Control.

"Fungsi ini adalah pertama dalam segmen harga sedemikian. Namun, keselamatan berada di tangan anda, sistem hanya bertindak sebagai pembantu," jelas Aminar Rashid.

Myvi serba baharu itu juga mendapat penarafan keselamatan 5-bintang oleh ASEAN NCAP, menjadikannya antara nilai terbaik untuk paras harganya.

Info:

Harga atas jalan tanpa insurans Myvi serba baharu

* 1.3L Standard G (MT) - RM44,300

* 1.3L Standard G (AT) - RM46,300

* 1.3L Premium X (AT) - RM48,300

* 1.5L High (AT) - RM51,800

* 1.5L Advance (AT) - RM55,300

2386 dibaca
PERODUA Myvi baharu.
MUSTAPA (empat dari kiri) ketika melancarkan Perodua Myvi baharu di Putrajaya, hari ini.
MYVI baharu didatangkan dengan tanda harga dari RM44,300 hingga RM55,300 seunit.
Berita Harian X