Sabtu, 21 Oktober 2017 | 4:17pm
TENGKU Puan Temenggong Kelantan, Datin Tengku Nor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, (tiga kiri) merasmikan Program Pink Walk Kaseh OKB (Orang Kota Bharu) HOSPIS Bestari 2017 di Padang Maktab Sultan Ismail . - Foto Fathil Asri

Satu peratus lelaki hidap kanser payudara

KOTA BHARU: Satu peratus daripada 300 pesakit yang didiagnosis menghidap kanser payudara setiap tahun, di hospital berdaftar di negeri ini adalah lelaki.

Pakar Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi, berkata statistik itu menunjukkan seorang daripada 100 pesakit yang menghidap penyakit itu adalah lelaki.

Katanya, kanser payudara jarang menyerang lelaki, namun masih wujud walaupun jumlah peratusan yang sangat kecil.

"Malah, kanser ini akan merebak dengan lebih agresif pada lelaki berbanding wanita dan risiko kematiannya lebih tinggi.

"Oleh itu, masyarakat dinasihatkan lebih peka dan membuat rawatan segera jika ada tanda awal kanser di hospital berdekatan. Biasanya

lelaki lingkungan usia 40 hingga 50 tahun dikesan dikesan menghidap kanser payudara.

"Jumlah penghidap kanser ini agak tinggi setiap tahun, namun 54 peratus daripadanya datang mendapatkan rawatan selepas mencapai tahap tiga dan empat," katanya selepas program Pink Walk Kaseh OKB Hospis Bestari 2017, di Padang Maktab Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad dan Duta Kanser Payudara POKB, Datuk Khatijah Ibrahim.

Imi Sairi berkata, di Kelantan terdapat beberapa hospital yang menerima kes pesakit kanser payudara seperti HRPZ II, Hospital Universiti Sains Malaysi (HUSM), Hospital Kuala Krai, Hospital Tanah Merah, Hospital Pakar Perdana (KPJ Perdana) dan Kota Bharu Medical Centre (KBMC).

"Pelbagai program akan diteruskan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mencegah kanser di peringkat awal.

"Saya berharap melalui pameran dan program dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak dapat memberi pendedahan dan informasi kepada masyarakat berkenaan kanser yang menjadi pembunuh utama wanita hari ini," katanya.

561 dibaca
Berita Harian X