Jumaat, 13 Oktober 2017 | 7:58pm
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menerima laporan daripada Pengerusi Suruhanjaya Siasatan, Tan Sri Mohd Sidek Hassan (dua, kiri) di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Forex: RCI sembah laporan kepada Agong

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar 1990-an, mempersembahkan laporan siasatan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Laporan itu diserahkan dalam tempoh genap tiga bulan mandat suruhanjaya itu.

Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, tiba di perkarangan Istana Negara, jam 4.05 petang diiringi empat ahli panel.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, berkenan menerima laporan itu kira-kira jam 5.30 petang yang diserahkan sendiri oleh Mohd Sidek.

Laporan setebal 400 muka surat yang diserahkan itu mengandungi keputusan berhubung lima bidang tugas suruhanjaya siasatan.

Mohd Sidek ketika ditemui media di luar Istana berkata, beliau sudah menjelaskan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai hasil siasatan dan laporan oleh suruhanjaya.

"Ada lima syor dalam terma rujukan itu dan suruhanjaya siasatan sudah mengkaji semua serta memberi perakuan," katanya

Selepas lebih tiga jam, ahli panel itu dilihat meninggalkan perkarangan istana, kira-kira jam 7 petang.

Pada 19 September lalu, suruhanjaya siasatan itu menutup prosiding dua hari lebih awal, selepas bersidang selama sembilan hari bermula 8 Ogos lalu.

Antara lima bidang tugas suruhanjaya itu adalah :-

*Untuk menentukan sama ada urus niaga mata wang asing Bank Negara, yang mengalami kerugian, telah melanggar peruntukan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang lain yang berkenaan.

*Untuk menentukan sama ada terdapat unsur sengaja menyembunyikan fakta dan maklumat serta penyata mengelirukan yang dikemukakan kepada Kabinet, Parlimen dan orang ramai berhubung kerugian dialami Bank Negara disebabkan urus niaga mata wang asing itu.

*Untuk mengesyorkan tindakan sewajarnya yang perlu diambil terhadap pihak yang terbabit secara langsung dan/atau tidak langsung sekiranya mereka didapati menyebabkan Bank Negara mengalami kerugian itu dan menyembunyikan fakta serta maklumat mengenai kerugian yang dimaksudkan.

*Untuk mengesyorkan tindakan yang patut diambil bagi memastikan perkara serupa tidak berulang.

Selain Mohd Sidek, yang juga pengerusi PETRONAS, anggota lain suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan; pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K Puspanathan.

 

Suruhanjaya itu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan Abdul Murad bahawa BNM kerugian lebih AS$10 bilion pada awal 1990-an dalam perdagangan mata wang asing.

Sepanjang prosiding, antara saksi penting yang dipanggil memberi keterangan adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Penasihat Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

453 dibaca
Berita Harian X