Jumaat, 13 Oktober 2017 | 7:00pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Datuk Ayub Rahmat (tiga, kanan) bersama Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (dua, kiri) ketika melancarkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) Plus peringkat negeri sempena Ekspo Johor Berkemampuan 2017 di Pentas Utama, Dataran Mahkota, Kota Iskandar. - Foto BERNAMA

SSPN-i Plus peringkat Johor dilancar

JOHOR BAHRU: Skim tabungan pendidikan tinggi, SSPN-i Plus, kendalian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilancarkan pada peringkat Johor semalam, dalam usaha menggalakkan penabungan dalam kalangan masyarakat di negeri ini, khususnya bangsa Johor.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sejak SSPN-i Plus dilancarkan pada 8 Jun 2015 sehingga  31 Ogos lalu, sebanyak 3,386 akaun SSPN-i Plus dibuka di Johor dengan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM1.4 juta dan jumlah manfaat perlindungan takaful sehingga RM166.7 juta.

Berikutan itu, beliau mengajak rakyat Johor merebut peluang dengan membuka serta menambah simpanan di dalam akaun SSPN-i Plus kerana ia pilihan penabungan pendidikan yang terbaik.

Katanya, masih ramai rakyat Johor yang belum membuka akaun ini.

Jangan berlengah

"Kemudahan dan peluang sudah disediakan kerajaan. Apa yang perlu dilakukan oleh ibu bapa adalah jangan berlengah. 

"Ayuh! mulakan penabungan melalui SSPN-i Plus. Percayalah bahawa kecemerlangan pendidikan masa depan anak semua adalah terletak di tangan ibu bapa sendiri," katanya.

Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat.

Yang turut hadir, Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff; Timbalan Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Saifuddin Abdul Rahim dan Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Prof Madya Datuk Dr Toh Kian Kok.

Mohamed Khaled berkata, bagi meningkatkan kesedaran terhadap produk baharu itu, beliau meminta PTPTN memperhebatkan promosi kepada semua agensi kerajaan dan swasta di Johor.

Katanya, masyarakat perlu membuka minda bahawa tanpa perancangan kewangan yang baik adalah sukar untuk anak mereka meneruskan pengajian mereka.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, PTPTN tidak seharusnya dilihat sebagai pemberi pinjam dan pengutip hutang pinjaman pendidikan semata-mata.

"PTPTN sewajarnya dilihat sebagai tabung pendidikan untuk rakyat Malaysia, sebagaimana Lembaga Tabung Haji (TH) untuk umat Islam mengerjakan haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk simpanan pesara," katanya.

Katanya, pembiayaan penabungan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional bagi mengurangkan pergantungan kepada pinjaman pendidikan kini mula menunjukkan senario yang positif apabila ramai ibu bapa menggunakan simpanan SSPN untuk membiayai pengajian anak.

144 dibaca
Berita Harian X