Jumaat, 13 Oktober 2017 | 6:08pm
- Foto hiasan

Gigih berniaga walau tak mendengar

ISKANDAR PUTERI: Kekurangan diri bukan halangan bagi seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) berdikari mencari sumber pendapatan bagi menyara kehidupan.

Ramai yang terkejut apabila mendapati Mohamad Masood, 55, yang mengusahakan trak makanan di Dataran Mahkota Kota Iskandar, di sini sempena Ekspo Berkemajuan Johor, memberi perkhidmatan cekap walaupun menghadapi masalah pendengaran.

Menjalankan perniagaan makanan dengan jenama Silent Fried Chicken (SFC) sejak hari pertama eskpo bersama dua rakan yang juga pekak, ternyata bukan mudah, termasuk ketika mengambil pesanan pelanggan.

Namun, Mohamad yakin jika semua mengikut prosedur dan disiplin dalam perniagaan, ia pasti memudahkan golongan seperti mereka berniaga.

"Saya pernah bekerja sebagai tukang jahit dan menjalankan perkhidmatan katering di Kuala Lumpur sebelum ini. Namun, saya yakin dapat meraih pendapatan lebih baik menerusi perniagaan trak makanan," katanya yang berasal dari Batu Pahat.

Beliau ditemui BH dan berkomunikasi bahasa isyarat diterjemahkan jurubahasa yang juga Pegawai Perhubungan Komuniti Pekak Johor, Muhammad Nasrullah Kadiron.

Mohamad bersama dua rakannya, Alzuyan Mohammad Ehsan, 30, dan Sahnizat Abd Hamid, 39, menjalankan perniagaan makanan yang mudah disediakan seperti ayam dan sotong goreng serta sosej.

Pelanggan hanya perlu menulis di kertas disediakan di kaunter bagi membuat pesanan bagi makanan yang berharga daripada RM4 hingga RM10.

"Kami sudah menyusun tugasan masing-masing. Mulanya hanya saya dan Alzuyan bekerja namun saya minta seorang lagi rakan dari Persatuan Orang Pekak Johor turut serta bagi melancarkan operasi perniagaan," katanya.

Projek 'Silent Food Truck' itu adalah ilham dan projek yang dilaksanakan melalui Program Duta Jauhar 4.0 membabitkan sekumpulan 10 penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kelahiran Johor dengan menyasarkan golongan OKU pekak bagi menjalankan perniagaan .

Pengurus projek yang juga penuntut tahun akhir Jurusan Sarjana Muda Pengurusan Polisi dan Sekitaran Sosial, Nur Hamidah Abdul Rahim, 24, berkata matlamat projek ialah membuktikan golongan pekak mampu bersaing dengan mereka yang normal dalam perniagaan.

Katanya, projek percubaan dilaksanakan sejak September lalu, dengan peserta diberi bimbingan dan panduan bagi pembelian bahan mentah daripada pembekal dan latihan penyediaan makanan.

138 dibaca
Berita Harian X