Jumaat, 6 Oktober 2017 | 2:13pm

MyRumah 2017 sedia platform terbaik

KUALA LUMPUR: Konsep Pameran, Pendidikan dan Hiburan menjadi tulang belakang ekspo MyRumah 2017 anjuran The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP).

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid, berkata NSTP sebagai penganjur utama MyRumah akan bergerak mengikut tiga konsep berkenaan bagi menyediakan liputan terbaik kepada pemaju pempamer.

Menerusi MyRumah, katanya, pemaju berkenaan diberi platform untuk meningkatkan kesedaran dan publisiti projek perumahan masing-masing.

"Pengunjung dan pembeli berpotensi bukan saja mendapat peluang melihat pelbagai model dan reka bentuk rumah, malah boleh boleh melihat kemudahan ditawarkan berdekatan kawasan dimahukan.

"Mereka boleh mendapatkan nasihat dan maklumat mengenai skim kewangan ditawarkan oleh bank.

"Ia akan membantu mereka memenuhi impian membeli rumah mengikut bajet sesuai," katanya berucap pada Majlis Pelancaran MyRumah 2017 edisi keempat yang disempurnakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Jayaselan Navaratnam; Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib; dan Pengarang Eksekutif (Berita, Rencana dan Digital) BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman. 

Abdul Jalil berkata, elemen paling ketara dalam penganjuran MyRumah ialah pendidikan mengenai perumahan yang diketengahkan dalam forum khas sepanjang penganjuran MyRumah 2017.

"Seramai 19 pakar perumahan akan berkongsi pengetahuan menarik membabitkan isu hartanah, undang-undang, cukai, strategi sewaan, reka bentuk dalaman dan tips serta strategi dan peluang melabur dalam pasaran hartanah.

"Elemen hiburan dapat dilihat dalam pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak seperti pertandingan mewarna dan sesi permainan dianjurkan khas oleh MyRumah," katanya.

MyRumah siri keempat berlangsung di The Curve, Mutiara Damansara, di sini selama tiga hari bermula hari ini. Ia dibuka secara percuma bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Tiga siri MyRumah yang diadakan sebelum ini di Bangsar, Johor Bahru dan Alor Setar menarik hampir 15,000 pengunjung dengan 67 unit hartanah terjual bernilai RM30 juta.

514 dibaca
TAN Sri Noh Omar (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid kiri) melancarkan Pameran Hartanah MyRumah 2017 di The Curve, Mutiara Damansara. - Foto Asyraf Hamzah
TAN Sri Noh Omar (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif NSTP , Datuk Abdul Jalil Hamid (dua dari kiri) melancarkan Pameran Hartanah MyRumah 2017 di The Curve, Mutiara Damansara.- Foto Asyraf Hamzah
TAN Sri Noh Omar (kiri) dan Datuk Abdul Jalil Hamid (dua; kiri) semasa Pelancaran MyRumah 2017 edisi keempat di The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya.- Foto Salhani Ibrahim
Berita Harian X