Isnin, 18 September 2017 | 5:26pm
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

DBKL tolak permohonan pesta arak

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menolak permohonan penganjuran pesta arak Better Beef Festival 2017 di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, berkata pihaknya menolak permohonan penganjuran pesta arak itu kerana ia disifatkan sebagai satu program yang sensitif, sekali gus mampu menimbulkan kemarahan masyarakat.

"Dasar kita, kita tidak membenarkan perkara sensitif (penganjuran aktiviti sensitif) ," jawabnya ringkas ketika dihubungi BH, hari ini.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khalid Zakaria dalam satu kenyataan hari ini, mengesahkan DBKL menerima permohonan daripada pihak penganjur pada 28 Ogos lalu untuk menjalankan aktiviti berkenaan pada 6 hingga 7 Oktober ini di Solaris Damansara, Kuala Lumpur bermula jam 2 petang hingga 11 malam.

"DBKL membuat keputusan untuk menolak permohonan daripada penganjuran aktiviti terbabit.

"Sekiranya pihak penganjur meneruskan aktiviti berkenaan tanpa kebenaran DBKL, tindakan undang-undang akan diambil," katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan, PAS Kelantan membantah penganjuran pesta arak better Beer Festival 2017, yang dijadual berlangsung bulan depan.

Program Better Beer Festival 2017 itu dianjurkan sebuah syarikat pengedar bir.

Ia penganjuran kali ketiga selepas pertama kali diadakan pada 2012 dan kali kedua tahun lalu. 

2206 dibaca
Berita Harian X