Khamis, 14 September 2017 | 9:17am
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak berucap semasa 'Banyan Tree Leadership Forum' di Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS). - Foto BERNAMA

Malaysia diiktiraf pelaku global: PM

WASHINGTON DC: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) yang berakhir hari ini, sebagai manifestasi pengiktirafan Malaysia sebagai pelaku global yang signifikan.

Perdana Menteri berkata, ini adalah kejayaan besar Malaysia sejak kemerdekaan 60 tahun lalu dan sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik dengan AS.

"Saya sangat gembira apabila Trump (Presiden AS, Donald Trump) menerima saya sebagai sahabat, bukan sahaja sebagai PM. Lawatan ini bebas daripada tekanan dan sangat positif.

"Walaupun ada pelbagai cerita negatif mengarut kita dengar, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

"Ini adalah lawatan yang menggembirakan dan saya lega kerana membuat keputusan menerima pelawaan Trump untuk lawatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada hari terakhir lawatan kerja tiga hari ke sini, sebentar tadi.

Sebelum ini, pelbagai pihak mempertikaikan lawatan beliau, termasuk pembangkang dan media tempatan AS.

Pelbagai tohmahan dibuat termasuk dakwaan kononnya ia bertujuan untuk mencari pengaruh politik, khususnya berkaitan siasatan oleh pihak Department of Justice (DoJ) AS berhubung isu 1MDB.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya dengan sambutan mesra dan baik diberikan oleh Trump serta kabinetnya, membuktikan dakwaan itu meleset sama sekali serta tidak berasas dan tidak boleh diterima oleh rakyat Malaysia.

Najib juga berkata, pengiktirafan terhadap Malaysia juga terbukti apabila Trump menampilkan barisan kabinet senior dalam mesyuarat dua hala, termasuk Naib Presiden, Setiausaha Negara, Ketua Staf dan Penasihat Keselamatan Nasional.

"Pendek kata kehadiran  kumpulan dalaman pentadbiran Trump ini menunjukkan kita telah sampai ke tahap mendapat pengiktirafan besar daripada kuasa besar seperti AS.

"Ini bukti kita sebuah negara berjaya. Kalau kita bukan negara berjaya, tak mungkin kita mendapat sambutan seperti yang dilakukan oleh Trump," katanya.

510 dibaca
Berita Harian X