Rabu, 13 September 2017 | 9:58pm
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat. - Foto NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim

PM dijangka rasmi Ekspo Johor Berkemajuan

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dijangka merasmikan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 yang akan diadakan di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, dekat sini selama lapan hari mulai 6 Oktober ini, dengan menumpukan kepada tiga kluster utama bagi menonjolkan Johor sebagai kuasa ekonomi Malaysia.

Majlis perasmian ekspo itu dijangka pada 7 Oktober, manakala majlis penutup akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 14 Oktober.

Pada majlis itu, Najib juga dijangka merasmikan Dasar Kelestarian Johor dan Program Superbumi serta melancarkan Bas Rapid Transit Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA). Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata tiga kluster utama yang akan diketengahkan pada ekspo itu ialah kluster kerajaan negeri, Pelan Pertumbuhan Johor (PPSJ) dan Sektoral.

"Ekspo ini dianjurkan bagi meletakkan Johor di pentas global sebagai hab serantau bagi aktiviti perdagangan, industri dan inovasi bagi menunjukkan bahawa Johor adalah negeri yang paling progresif di Malaysia dengan infrastruktur serta sistem pengangkutan yang sangat maju, selain mempunyai jaringan komunikasi dan internet yang pantas dan efisien," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ayub yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hebahan dan Promosi ekspo itu, berkata kluster kerajaan negeri akan memaparkan sejarah Kesultanan Johor dan pencapaian, perancangan serta inisiatif semasa dalam mentadbir dan membangunkan negeri.

Katanya, kluster PPSJ akan mengetengahkan pencapaian dan perancangan pembangunan spesifik bagi setiap 10 daerah yang semuanya mempunyai keunikan serta potensi tersendiri.

"Kluster Sektoral pula memaparkan pelbagai insentif, skim bantuan, peluang pekerjaan dan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi yang menyertai ekspo terbabit," katanya.

Ayub berkata, menerusi ekspo itu pihaknya mahu memaklumkan kepada rakyat mengenai pelbagai program yang dijalankan oleh kerajaan negeri untuk manfaat bersama.

"Kita buat banyak perkara dalam tempoh empat tahun ini dan kita mahu maklumkan kepada rakyat. Yang penting kerajaan negeri mahu tunjuk kepada rakyat ini sebenarnya yang kita buat untuk rakyat. Kehendak dan keperluan rakyat kita cuba penuhi," katanya.

372 dibaca
Berita Harian X